AHLI Parlimen Kanada pada Khamis sebulat suara mengundi untuk mengisytiharkan tindakan tentera Myanmar terhadap penduduk Rohingya sebagai “pembunuhan beramai-ramai.”
Dewan Rakyat mengesahkan hasil misi pencarian fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar yang mengatakan “jenayah terhadap kemanusiaan dilakukan terhadap orang Rohingya” dan tindakan ini dipersetujui oleh para komandan tentera utama Myanmar.
Dalam satu usul, ahli Parlimen Kanada berkata mereka “mengakui semua jenayah terhadap Rohingya itu adalah pembunuhan beramai-ramai” dan mendesak Majlis Keselamatan PBB merujuk kes itu kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa, sambil menggesa jeneral Myanmar disiasat dan didakwa “bagi jenayah pembunuhan beramai-ramai.”
“Saya mahu menegaskan bagaimana tragis, kejahatan jenayah terhadap rakyat Rohingya,” kata Menteri Luar Chrystia Freeland. “Kami mengetuai usaha antarabangsa untuk keadilan dan akauntabiliti bagi rakyat Rohingya.”
“Usul sebulat suara hari ini adalah satu langkah yang sangat penting dalam usaha itu.”
Kempen kejam pihak tentera memaksa lebih 700,000 Rohingya beragama Islam dari Myanmar lari ke negara jiran Bangladesh, di mana mereka kini tinggal di kem pelarian yang penuh sesak.
Bangladesh dan Myanmar menandatangani perjanjian tahun lepas untuk membenarkan minoriti Islam itu kembali - tetapi ia terhenti kerana Rohingya takut untuk kembali ke Rakhine tanpa jaminan dan keselamatan mereka. – AFP, 21 September, 2018.
Komen