COCA-Cola, Walmart dan beberapa syarikat multinasional lain pada Khamis berikrar untuk mengurangkan pencemaran plastik di lautan dunia bagi menyokong kempen yang dijalankan oleh lima daripada negara industri G7.
Britain, Kanada, Perancis, Jerman dan Itali bersama Kesatuan Eropah menandatangani Piagam Plastik Lautan pada sidang kemuncak pemimpin di Charlevoix, Kanada pada bulan Jun.
Amerika Syarikat dan Jepun berkecuali tetapi negara bukan G7, Norway dan Jamaica juga menyokong rancangan itu untuk memastikan 100 peratus plastik boleh dikitar semula pada tahun 2030.
Negara terlibat menyasarkan untuk membangunkan lebi banyak alternatif kepada pembungkusan plastik, untuk menuju ke arah semua plastik dikitar dan diguna semula menjelang 2040.
Pada hari kedua mesyuarat menteri G7 di bandar pelabuhan Atlantik Kanada, Halifax, Menteri Alam Sekitar Kanada, Catherine McKenna mengumumkan “perkongsian baru dengan perniagaan” untuk mengurangkan sisa plastik.
Penyokongnya termasuk Loblaws, Walmart, Nestle Kanada, IKEA, Dow Chemicals, syarikat Coca-Cola, BASF Kanada dan A&W Kanada.
Unilever turut mengumumkan ia melancarkan entiti bukan keuntungan untuk mengurangkan sisa pengguna dan perniagaan, sementara Volvo meningkatkan sasarannya untuk membuat 25 peratus daripada plastik dalam keretanya dapat dikitar semula pada tahun 2025. – AFP, 21 September, 2018
Komen