4 kanak-kanak maut, kereta api langgar kenderaan kargo bermotor di Belanda


Polis berkawal di tempat kejadian nahas kereta api melanggar kenderaan kargo bermotor elektrik kanak-kanak di Oss, Belanda. Empat kanak-kanak maut. – Gambar EPA, 20 September, 2018.

PERLANGGARAN yang berlaku antara sebuah kereta api dan kenderaan kargo bermotor elektrik kanak-kanak di Oss, yang terletak di tenggara Belanda, pada Khamis meragut nyawa empat orang kanak-kanak berusia lingkungan empat tahun hingga 11 tahun, lapor agensi berita China Xinhua.

Nahas itu berlaku pada kira-kira 8.30 pagi waktu tempatan di kawasan lintasan kereta api yang dikawal, berhampiran stesen Oss Barat.

Seorang lagi kanak-kanak dan seorang individu dewasa cedera parah dalam insiden itu, menurut polis.

Sebelum itu, kenderaan kargo bermotor elektrik milik sebuah pusat penjagaan kanak-kanak itu menurunkan beberapa kanak-kanak di sebuah sekolah rendah dan dalam perjalanan ke sekolah berikutnya di Oss ketika nahas berlaku.

Lima kanak-kanak terbabit adalah daripada tiga keluarga, kata polis.

Punca pelanggaran itu masih disiasat.

Saksi memberitahu stesen penyiar nasional bahawa kenderaan bermotor kargo itu tidak berhenti ketika menghampiri kawasan lintasan kereta api dan pemandunya menjerit bahawa ia tidak boleh menekan brek.

“Saya amat terharu dengan berita yang begitu menyedihkan dari Oss yang mana empat kanak-kanak terbunuh dalam satu nahas yang mengerikan,” kata Perdana Menteri Belanda Mark Rutte.

“Saya harap semua yang terlibat akan tabah berdepan kehilangan besar ini.” – Bernama, 20 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen