Majlis Keselamatan PBB akan dengar perkembangan baru konflik Palestin-Israel


Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan mesyuarat bulanannya berhubung isu Timur Tengah pada Khamis.– Gambar EPA, 20 September, 2018

MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Khamis akan mengadakan mesyuarat bulanannya berhubung isu Timur Tengah (konflik Israel-Palestin), yang bakal menyaksikan anggota badan dunia itu akan diberi taklimat oleh Penyelaras Khas bagi Proses Damai Timur Tengah, Nickolay Mladenov, mengenai perkembangan politik, kemanusiaan dan keselamatan di rantau itu baru-baru ini.

Pada mesyuarat hari ini, majlis itu turut dijadual menerima laporan suku tahunan berhubung pelaksanaan resolusi 2334 bertarikh 23 Disember 2016, yang banyak memfokus kepada petempatan Israel, lapor agensi berita Jordan, Petra.

Menurut resolusi 2334, majlis itu meminta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres, untuk melaporkan setiap tiga bulan berkaitan pelaksanaan resolusi itu, yang diluluskan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Susulan tekanan pentadbiran baharu Amerika Syarikat, Guterres tidak menyerahkan laporan itu sendiri sebaliknya merujuk tugasan itu kepada Mladenov.– Bernama, 20 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen