Lesen agensi pembantu rumah ‘jual amah’ di Singapura digantung


Singapura menjadi tempat mencari rezeki bagi 250,000 pembantu rumah, kebanyakannya berasal dari kawasan miskin di Indonesia atau Filipina. – Gambar AFP, 20 September, 2018.

PIHAK berkuasa Singapura menggantung lesen satu agensi pekerjaan dan memberi amaran akan mendakwa syarikat itu kerana menyiarkan iklan amah Indonesia untuk dijual.

Iklan yang disiarkan secara online itu mencetuskan kemarahan di Indonesia yang menganggap ia satu penghinaan kepada golongan itu.

Singapura menjadi tempat mencari rezeki bagi 250,000 pembantu rumah, kebanyakannya berasal dari kawasan miskin di Indonesia atau Filipina.

Mereka memilih republik itu kerana ia menawarkan kadar gaji lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan di tempat sendiri.

Iklan menggunakan tajuk “maids.recruitment” itu dilaporkan menawarkan khidmat beberapa pembantu rumah dari Indonesia manakala beberapa yang lain menyatakan ada pembantu rumah yang “dijual”.

Ini menimbulkan kemarahan di Indonesia dengan NGO Migrant Care menyelar tindakan itu dan menyifatkannya sebagai tidak adil dan menghina.

Iklan itu kemudian dibuang daripada laman web terbabit.

Kementerian Buruh Singapura dalam kenyataannya berkata lesen agensi pekerja SRC Recruitment LLP digantung.

Ini bermakna ia tidak lagi boleh menawarkan pembantu rumah kepada penduduk dan pihak berkuasa melakukan siasatan untuk tujuan pendakwaan. – AFP, 20 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen