.jpg)
TARIKH keramat 20 September 1998 merupakan detik bersejarah di negara kita. Pada hari tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ditangkap, dibelasah separuh mati, difitnah dan dipenjarakan susulan demonstrasi besar-besaran menentang ketempangan pemerintah yang ketika itu diselubungi rasuah, nepotisme dan kronisme.
Membicarakan mengenai tarikh bersejarah ini tidak lengkap tanpa penghayatan terhadap Deklarasi Permatang Pauh yang dilaungkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tarikh 12 September 1998 dengan semangat perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.
Deklarasi ini telah menggariskan teras perjuangan Reformasi yang menuntut keadilan untuk semua lapisan rakyat di negara kita.
Deklarasi ini antara lain menyatakan dengan tegas usaha-usaha untuk menegakkan sebuah negara yang adil dan saksama, menentang penyalahgunaan kuasa, agihan ekonomi yang seimbang dan mendaulatkan kuasa rakyat menerusi amalan demokrasi.
Deklarasi ini adalah suara hati nurani Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk anak semua bangsa.
Seruan beliau disahut dengan ombak kebangkitan rakyat sehingga pemerintah terpaksa mengambil tindakan terdesak dengan menangkap beliau bagi melumpuhkan penentangan rakyat.
Apabila Datuk Seri Anwar dipenjarakan, tugas menyalakan api kesedaran rakyat ini terletak di bahu reformis yang kekal bersetiakawan dan tidak pernah melarikan diri dari medan perjuangan.
Kesinambungan daripada perjuangan generasi reformasi ini menyaksikan Pakatan Rakyat akhirnya berjaya menguasai beberapa negeri termasuklah Selangor.
Kejayaan kerajaan negeri Selangor menterjemahkan Deklarasi Permatang Pauh dalam bentuk pelaksanaan pentadbiran yang adil, bebas rasuah, menjaga kebajikan rakyat menerusi inisiatif peduli rakyat serta amalan tadbir urus ekonomi yang cemerlang telah membuka mata hati rakyat untuk memberikan peluang kepada Pakatan Harapan mengemudi negara ini pada tanggal 9 Mei yang lalu.
Sejarah penganiayaan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan reformis yang setia di masa susah dan senang sewajarnya dinoktahkan dengan membawa obor Deklarasi Permatang Pauh yang dinyalakan 20 tahun lampau ke puncak kuasa setelah beliau kini bebas dari penjara.
Ruang perubahan sudah terbentang luas. Kini sudah tiba masanya untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama rakyat membina sebuah Malaysia Baru yang adil dan sejahtera. – 20 September, 2018
* Syafiq Sunny ialah ahli PKR.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh [email protected] · Ulasan