.jpg)
PADA petang 20 September 20 dahulu saya tahu di mana saya berada. Pada petang Ahad itu, dalam jam 4.30, saya berada di wilayah Masjid Negara. Saya bersama lebih dari 50,000 anak semua bangsa menunjukkan setia kawan kepada Anwar Ibrahim yang telah dituduh meliwat.
Anwar membuat labon ceramahnya di anjung Masjid Negara. Anwar mempertahankan dirinya daripada tuduhan liwat. Menuduh musuh politik dan Dr Mahathir Mohamad yang membuat fitnah. Di anjung Masjid Negara Anwar melaungkan “reformasi”. Anwar melaungkan “lawan tetap lawan”.
Anwar, timbalan presiden Umno telah dilucutkan jawatan dari partinya. Anwar yang juga timbalan perdana menteri dan menteri kewangan telah diberhentikan dari jawatan kerajaan pada 2 September 1998. Anwar dikatakan telah meliwat adik angkatnya Sukma Dermawan. Anwar juga dituduh meliwat pemandu kereta keluarganya yang bernama Azizan Abu Bakar.
Justeru, tahun 1998 dinobatkan sebagai Tahun Meliwat Malaysia. Kes Anwar ini telah menjadikan perkataan “liwat” satu perkataan yang paling pop hingga ke hari ini.
Liwat terus menjadi berahi seksual terlarang. Walhal dari kajian bentuk hubungan seksual, ini bukan suatu yang asing dalam mana-mana budaya bangsa – termasuk budaya Bani Melayu. Sama ada homoseksual mahupun hetroseksual, liwat wujud sebagai bentuk nikmat seksual. Liwat menjadi nikmat seksual yang gelap lagi digelapkan.
Terima kasih kepada Dr Mahathir. Terima kasih kepada Anwar. Dua sosok ini telah berjaya mengetengahkan perkataan liwat. Dari tak tahu, kini satu Malaysia telah tahu. Dan ramai pula yang ingin mencuba. Amin
Malam 20 September Anwar ditangkap. Pada malam itu juga anak-anak muda yang bersimpati dengan Anwar telah bertindak. Anak anak muda yang tidak mengenal siapa Anwar sebenarnya telah spontan terjerut untuk turun ke jalan raya.
Dr Mahathir yang menuduh Anwar sebagi peliwat telah ditakrif sebagai Mahafiraun. Dr Mahathir dilihat sebagai telah menzalimi Anwar.
Pada malam 20 September 1998, Anwar ditangkap. Demonstrasi jalanan bermula. Laungan reformasi kedengaran di sana sini. Laungan lawan tetap lawan kedengaran di sana sini. Penyokong Anwar dari dalam Umno juga telah keluar menentang presiden parti mereka Dr Mahathir.
Harus saya terangkan di sini. Ramai yang membuat salah bacaan. Ramai yang menganggap reformasi itu demonstrasi dan demonstrasi itu reformasi. Ini salah. Demonstrasi itu ialah manifestasi reformasi.
Reformasi itu ialah tuntutan anak semua bangsa untuk melahirkan Malaysia yang lebih adil dan demokratik. Berjuang untuk melahirkan Malaysia tanpa rasuah. Berjuang untuk meghapuskan nepostisma. Berjuang untuk membasmi budaya feudal yang memenjarakan fikrah Bani Melayu. Berjuang untuk membebaskan fikrah Bani Melayu dari terus terjerumus dalam padang pasir Arab.
Justeru agenda reform – agenda perubahan yang awal ialah membuka ruang demokrasi.
Wajib saya terangkan secara tuntas di sini. Agenda perubahan ini TIDAK bermula pada 2 atau 20 September 1998. Tuntutan agenda perubahan bermula pada jam 12.01 - malam 31 Ogos 1957. Pada malam itu secara resmi kuasa kolonial Inggeris telah memberi kuasa memerintah Tanah Melayu kepada Umno.
Pada malam 31 Ogos 1957 itu juga anak semua bangsa telah meneruskan perjuangan anti British kepada anti Umno. Parti Ketuanan Melayu ini adalah parti anak didik dan boneka Inggeris.
Parti Komunis Malaya dan jaringannya semenjak 1948 telah mengangkat senjata melawan Inggeris kini meneruskan perang kolonial untuk melawan Umno.
PMIP – Pan Malayan Islamic Party – nama asal Parti Islam PAS, terus menentang kerajaan Umno. Parti Rakyat dan Parti Buruh, dua parti kiri yang amat tersusun dan kompak telah memberi perlawanan yang hebat kepada Parti Ketuanan Melayu
Tiga tahun kemudian - 1960 - Umno telah memperkenalkan ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri. ISA ialah akta penjara tanpa bicara. ISA membuktikan bahawa tuntutan agenda perubahan dari anak semua bangsa diteruskan.
Pada tahun 1963, sekali penjajah Inggeris menjalankan jarum. Kali ini dengan penubuhan Malaysia. Ramai yang menentang. Ramai yang dimasukkan ke dalam penjara melalui ISA.
Pada tahun 1974, kaum tani miskin di Baling Kedah bangun melawan. Gerakan tani ini mendapat sokongan kaum pelajar. Ramai di-ISA-kan. Kemudian berlaku tunjuk perasaan kaum tani, juga di Kedah. Mereka menuntut harga padi yang masuk akal.
Semua ini adalah contoh perjuangan anak semua bangsa dan bangsa semua agama menuntut dilakukan reformasi. Semua menuntut diadakan agenda reformasi.
Gerakan Reformasi 1998 itu adalah sambungan dari semua gerakan yang menuntut memerdekakan Tanah Melayu yang bermula pada 31 Ogos 1957.
Pada 9 Mei 2018, anak semua bangsa telah berjaya menendang Najib dan Umno dari berkuasa. Ini detik dan tanda permulaan terbukanya ruang demokrasi.
Dengan wujudnya ruang demokrasi ini maka berkemungkinan dijalankan agenda perubahan. Agenda perubahan yang telah mengeram lama ini boleh menetas. Agenda perubahan ini bukan peralihan sosok dari Najib kepada Dr Mahathir. Bukan perubahan daging dan tubuh badan.
Siapa jadi perdana menteri bukan agenda fundamental. Dr Mahathir ke, Azmin ke, Mat Sabu ke atau Anwar menjadi PM bukan isunya. Ini tidak penting. Ini agenda kulitan.
Apa yang penting dalam agenda perubahan ialah perubahan struktural. Perubahan lembaga-lembaga daulah. Pendemokrasian jentera kerajaan. Pendemokrasian kaki tangan kerajaan.
Agenda perubahan yang bersandarkan perubahan struktural akan menjamin kesejahteraan. Tanpa perubahan struktural maka kemenangan 9 Mei ini berkemungkinan lenyap.
Sayugia dingatkan, saksikan apa yang terjadi kepada Filipina. Rakyat Filipina telah berjuang ke jalan raya dengan “people’s power”. Mereka berjaya menghalau Marcos. Tapi hari ini yang lahir ialah Duterte – pembunuh berlesen.
Awas dan waspada.Tanah Melayu dan Malaysia juga memiliki benih-benih Duterte. Anak semua bangsa wajib sedar bahawa agenda perubahan yang paling utuh ialah keberanian anak semua bangsa bangun bersuara dan bertindak. Jika bersuara dan bertindak telah menjadi budaya kita maka agenda perubahan boleh dituntaskan. Anak semua bangsa bukan hanya berlabun di Facebook atau Twitter atau WhatsApp.
Jika anak semua bangsa berani bersuara dan bertindak maka tukang karut dan kaki labon dapat dibogelkan. Anak semua bangsa wajib memiliki minda yang kritikal. Kelentong dan lebong Mat Songel terbongkeng apabila anak semua bangsa mula berani berfikr.
Berfikir secara kritikal adalah kunci agenda perubahan. Hanya dengan memiliki fikrah yang kritikal baru kita tahu dan sedar siapa sebenarnya peliwat dan siapa sebenarnya kaki lebong. Amin. – 20 September, 2018.
*Hishamuddin Rais adalah aktivis sosial.
Komen