Presiden Venezuela beri bayangan tidak sertai UNGA


Presiden Venezuela Nicolas Maduro membayangkan kemungkinan tidak akan turut serta dalam perhimpunan itu yang bermula pada minggu ini.– Gambar EPA, 20 September, 2018

PRESIDEN Venezuela, Nicolas Maduro mungkin tidak akan menghadiri mesyuarat tahunan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, atas faktor keselamatan.

Bercakap pada sidang akhbar, beliau membayangkan kemungkinan tidak akan turut serta dalam perhimpunan itu yang bermula pada minggu ini.

“Saya mahu ke New York, namun keselamatan juga perlu diutamakan,” kata Maduro tanpa mengulas lanjut.

Maduro sebelum ini beberapa kali menuduh bekas tentera Venezuela berkomplot untuk menggulingkan kerajaannya dengan bantuan Amerika Syarikat (AS). 

Di samping itu ujarnya, puak sayap kanan Colombia juga harus dipersalahkan atas cubaan membunuhnya.

Presiden Venezuela tersebut terselamat selepas diserang ketika menghadiri acara perarakan tentera di Caracas pada 4 Ogos. 

Lima anggota tentera turut cedera dalam kejadian itu dan puluhan suspek ditangkap, termasuk beberapa pegawai tentera.

Berdasarkan laporan The New York Times pada 8 September, berlaku pertemuan antara pegawai AS dengan pegawai tentera Venezuela, yang didakwa sebagai sebahagian percubaan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk campur tangan dan melancarkan rampasan kuasa. 

Maduro tidak menghadiri Perhimpunan Agung tersebut sejak 2015. Sesi ke-73 perhimpunan itu bermula pada Selasa sehingga 30 September. – Bernama, 20 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen