DONALD Trump yang sering mempersoalkan “perlunya bercuti” dan sering mengkritik bekas presiden sebelumnya kerana bercuti semasa berkhidmat, memulakan percutian selama 17 hari ke resort golf miliknya pada Jumaat.
Tiba di Bedminster, New Jersey untuk berehat panjang, presiden meninggalkan pentadbiran negara yang sedang bergelut dengan skandal Rusia serta isu kebocoran maklumat luar biasa di kalangan pegawai kerajaan.
Beliau juga gagal memperoleh sebarang kemenangan perundangan utama dalam tempoh tujuh bulan pertama memegang jawatan, dan bertentangan pendapat dengan beberapa ahli Parlimen Republik mengenai pelbagai isu.
Kenyataan daripada Rumah Putih berkata, ia akan menjadi “percutian sambil bekerja” dan memaklumkan jadual baik pulih sistem pemanasan dan penyejukan pejabat di bahagian West Wing yang mempunyai masalah sebagai alasan mengapa Trump bercuti.
“Presiden akan terus bekerja selama dua minggu akan datang,” kata jurucakap Rumah Putih, Lindsay Walters.
Tindakan seseorang presiden bercuti bukanlah perkara baru tetapi ia menjadi perhatian apabila Trump melakukannya, memandangkan kekerapannya mengkritik Barack Obama sebelum ini kerana meninggalkan Rumah Putih kerana bercuti.
Beliau mengecam Obama pada 2011 kerana bermain golf dan kemudian bercuti 10 hari di Martha’s Vineyard. “Etika kerja yang bagus,” tweet Trump pada masa itu.
“Presiden Obama akan memulakan percutian selama 17 hari di Hawaii,” katanya.
Selain itu, Trump kerap memberitahu para penyokong yang beliau akan mengelak daripada bercuti jika dipilih kerana akan ditimbuni kerja yang banyak. – AFP, 5 Ogos, 2017.
Komen