SEKURANG-KURANGNYA tiga terbunuh dan 10 rumah tertimbus pada pagi Khamis di tengah Filipina kerana hujan lebat menyebabkan tanah runtuh di sebuah perkampungan pertanian di pedalaman, kata pihak berkuasa.
Tragedi terbaru itu berlaku ketika Filipina mula sembuh daripada taufan kuat 2018, Taufan Mangkhut, yang menyebabkan tanah runtuh di utara negara itu yang menimbus dan membunuh berpuluh orang.
Tanah runtuh terbaru itu berlaku sekitar jam 6.00 pagi waktu tempatan di bandar pendalaman Tina-an yang berada di kepulauan tumpuan pelancong, Cebu.
Hujan lebat yang turun berhari lamanya menyebabkan tebing curam runtuh dan penyelamat kini berusaha keras mencari mangsa terselamat.
“Kami jumpa tiga mayat. Yang lain cedera ringan dan sudah dibawa ke hospital,” kata jurucakap pertahanan awam Julius Regner kepada wartawan.
“Usaha menyelamat masih diteruskan. Terdapat antara 10-15 rumah di kawasan tersebut.”
Pada masa sama, ratusan penyelamat meneruskan misi mencari mangsa di kawasan perlombongan di pergunungan Itogon yang teruk dilanda taufan.
Taufan Mangkhut melalui kawasan pertanian utara negara itu, memusnahkan rumah dengan angin kencang dan hujan lebat.
Taufan terburuk Filipina pernah berlaku adalah Taufan Haiyan yang menyebabkan lebih 7,350 maut atau hilang di tengah Filipina pada November 2013.
Tanah runtuh pada Sabtu menimbus kawasan perlombongan itu, menanam hidup-hidup berpuluh orang. 81 orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh berkaitan taufan itu.
Kawasan itu terdedah kepada bencana sebelum Mangkhut membadai kerana musim hujan lebat menyebabkan tanah tidak stabil. – AFP, 20 September, 2018.
Komen