Gangguan sistem telekomunikasi jejas Kanada


Di lapangan terbang Halifax di Nova Scotia, kira-kira 20 penerbangan ditangguhkan atau dibatalkan, dan beberapa lapangan terbang lain seperti Moncton, St John dan Charlottetown akibat gangguan telekomunikasi. – Gambar fail AFP, 5 Ogos 2017.

GANGGUAN sistem telekomunikasi di wilayah Atlantik Kanada menyebabkan kekacauan bagi perkhidmatan penerbangan dan kecemasan apabila beberapa kawasan di sana mengalami kegagalan liputan telefon bimbit.

Kegagalan sistem dilaporkan dua pengendali telekomunikasi, Bell dan Telus, menyebabkan gangguan perkhidmatan meluas di Nova Scotia, Newfoundland dan Labrador, New Brunswick serta Prince Edward Island di timur negara itu.

Ia turut menyebabkan masalah kepada syarikat penerbangan Air Canada dan WestJet, yang menggunakan rangkaian terbabit bagi perkhidmatan kemasukan penumpangnya, mengakibatkan orang ramai terpaksa beratur panjang di beberapa lapangan terbang.

Di lapangan terbang Halifax di Nova Scotia, kira-kira 20 penerbangan ditangguhkan atau dibatalkan, dan beberapa lapangan terbang lain – termasuk Moncton, St John dan Charlottetown – melaporkan mengalami gangguan yang sama.

“Kegagalan perkhidmatan menjejaskan beberapa wilayah di wilayah Atlantik. Pasukan kami sedang berusaha memulihkan perkhidmatan secepat mungkin,” kata Bell Canada dalam satu kenyataan yang disiarkan di Twitter.

Sebahagian perkhidmatan Telus bergantung kepada infrastruktur Bell di wilayah yang terlibat.

Kejadian itu berpunca daripada kerosakan kabel, menjejaskan rangkaian telefon bimbit, perkhidmatan internet dan televisyen dan talian telefon, kata operator.

Perkhidmatan kecemasan turut terjejas di Nova Scotia, dengan saluran 911 tidak berfungsi di beberapa kawasan. Polis menasihatkan penduduk menggunakan nombor stesen umum mereka untuk menghubungi bagi sebarang kes kecemasan.

Kerajaan wilayah Halifax meminta semua ambulans dan kru bomba kekal di balai dalam keadaan berjaga-jaga bagi sebarang kemungkinan kecemasan sehingga masalah diselesaikan. – AFP, 5 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen