SETIAUSAHA Agung PBB Antonio Guterres pada Rabu menggesa tindakan konkrit diambil selepas Korea Utara menunjukkan komitmen untuk menutup tapak ujian peluru berpandunya dengan kehadiran pemantau antarabangsa.
Guterres mengalu-alukan pengumuman pemimpin Korea Utara Kim Jong Un pada sidang kemuncaknya dengan rakan sejawat Korea Selatan Moon Jae-in di Pyongyang.
“Komitmen digambarkan dalam kenyataan bersama itu termasuklah usaha mustahak membina keyakinan ketenteraan dan komitmen DPRK (Korea Utara) untuk menutup infrastruktur ujian enjin peluru berpandu dengan kehadiran pakar negara berkaitan,” kata Guterres dalam satu kenyataan.
“Sekarang masanya untuk tindakan konkrit.”
Ketika Korea Utara penutupan tapak ujian nuklear pada Mei, Guterres mengadu yang tidak ada pakar antarabangsa menyaksikan penutupan itu.
Korea Utara sudah meluahkan kesediaan menutup tapak nuklear Yongbyon, yang merupakan tapak utama program nuklearnya jika Washington mengambil “langkah sewajarnya.”
Guterres menawarkan bantuan PBB untuk mempercepatkan usaha memusnahkan senjata nuklear di Semenanjung Korea dan mendesak penyatuan kuasa besar dunia.
Sidang kemuncak Pyongyang yang bersejarah berlaku ketika persediaan perhimpunan ketua negara dunia tahunan minggu depan di PBB.
Setiausaha Negara AS Mike Pompeo sudah menjemput Menteri Luar Korea Utara Ri Yong Ho untuk bermesyuarat di New York, ketika Perhimpunan Agung PBB.
Pompeo berkata perbincangan di New York dan Vienna merupakan permulaan rundingan penghapusan nuklear Korea Utara yang dijangka disiapkan pada 2021.
Pompeo akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan minggu depan tentang Korea Utara untuk membincangkan usaha diplomatik AS yang sudah berubah nada berbanding tahun lepas.
Pada Perhimpunan PBB tahun lepas, Presiden Donald Trump mengancam untuk memusnahkan sepenuhnya Korea Utara dan mengelarkan Kim sebagai “lelaki kerdil beroket.”
Pentadbiran Trump berdepan desakan Rusia dan China untuk melonggarkan sekatan ekonomi ke atas Korea Utara untuk mewujudkan insentif Pyongyang berubah.
AS berkeras yang sekatan perlu terus dikenakan sehinggalah Korea Utara menutup sepenuhnya program nuklearnya. – AFP, 20 September, 2018.
Komen