Remaja Palestin maut ditembak tentera Israel


Seorang remaja Palestin maut ditembak di sempadan timur bandar Rafah di selatan Gaza oleh tentera Israel. – Gambar EPA, 20 September, 2018.

SEORANG remaja Palestin maut ditembak tentera Israel dalam pertempuran di sempadan selatan Gaza pada Rabu, kata kementerian kesihatan di daerah itu.

Kementerian itu berkata Mumin Abu Ayeda, 15, ditembak di sempadan timur bandar Rafah di selatan Gaza.

Ia mengatakan remaja berkenaan adalah sebahagian daripada peserta demonstrasi malam yang berlangsung sejak beberapa bulan lalu, digelar “Great March of Return”.

Tiada pengesahan daripada pihak tentera Israel, yang biasanya menekankan kejadian demonstrasi yang ganas dan melabelkan mereka perusuh.

Sekurang-kurangnya 184 rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan Israel di Gaza sejak demonstrasi “Great March” bermula pada 30 Mac.

Seorang askar Israel ditembak mati oleh penembak hendap Palestin.

Protes berkurangan beberapa bulan kebelakangan ini, walaupun demonstrasi kecil berterusan.

Pada Selasa dua rakyat Palestin ditembak mati semasa protes ganas di Erez.

Penunjuk perasaan menggesa dibenarkan kembali ke rumah, tanah kelahiran sejak melarikan diri pada 1948, yang kini berada dalam jajahan Israel.

Israel menuduh pemimpin Islam Gaza, Hamas, yang bertempur dalam tiga perang sejak 2008, merestui protes sebagai usaha untuk melindungi serangan itu. – AFP, 20 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen