POLIS wilayah Zhejiang di timur China telah menghantar pulang 18 suspek dari Kemboja selepas didapati menggunakan aplikasi mudah alih untuk merekrut ahli prabayar bagi platform penstriman langsung pornografi, lapor agensi berita China Xinhua pada Rabu.
Pada masa mereka diberkas, kumpulan itu telah mengupah lebih 16,000 broker dan mempunyai lebih 3.5 juta ahli berdaftar, membabitkan sejumlah 250 milion yuan (kira-kira AS$36.5 juta).
Satu pasukan penyiasat khas telah ditubuhkan oleh polis di bandar Jiaxing selepas aplikasi mudah alih yang dikenali sebagai “Max” menarik perhatian mereka pada Mac tahun ini.
Polis kemudian mendapati bahawa “Max” telah menggabungkan lebih 110 platform penstriman langsung pornografi dan menyimpan beratus-ratus ribu video lucah.
Lebih 200 broker telah ditahan di 20 wilayah dan bandar di China pada April.
Bagaimanapun, operasi aplikasi itu tidak berhenti dan promosi mereka dipertingkat di platform media sosial.
Polis kemudian mengesan pelayan terbabit ke Kemboja dan memberkas kumpulan itu pada Ogos dengan bantuan polis Kemboja. – Bernama, 19 September, 2018.
Komen