WALAU Anwar Ibrahim belum sah menjadi ahli Parlimen, para pengundi Port Dickson sudah dapat membayangkan beliau akan dapat membangunkan kawasan itu.
Penduduk di sini banyak bergantung harap kepada aktiviti pelancongan. Kedudukannya yang hanya memakan masa perjalanan satu jam menggamit ramai pengunjung untuk menikmati alamnya.
Namun apabila malam berlabuh, bandar ini kembali sepi. Penduduk di sini berharap Anwar akan mengubah suasana suram ini menjadi lebih meriah bagi menarik lebih ramai pelancong.
“Di sini pukul 7 malam jadi bandar mati, saya pun tutup kedai pukul 7 malam, tiada apa dah dekat PD bila malam,” kata peniaga cendol, Muhammad Rahim Abd Rahman, 46
“Harapnya bila Anwar Ibrahim menang di sini nanti beliau akan bangunkan PD sama seperti seperti Langkawi atau Pulau Pinang,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Namun beliau tidak setuju dengan penyandang kerusi tersebut, Danyal Gopal Abdullah mengosongkan kerusi untuk ditandingi Anwar, yang digelar Langkah PD.
Walaupun mengharapkan Anwar mampu membangunkan Port Dickson, Rahim melihat pengosongan kerusi oleh Danyal bukan satu tindakan yang wajar.
“Bukan satu keperluan (kosongkan kerusi) untuk Anwar, boleh tunggu empat atau lima tahun lagi dalam Pilihan Raya Umum, pilihan raya baru selesai, ini macam satu pembaziran,” katanya.
Rata-rata warga Port Dickson maklum bahawa Anwar akan bertanding di situ untuk membolehkan presiden PKR itu menyertai Kabinet dan menjadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad.
Sebab itulah penduduk berkenaan berharap, Port Dickson akan menerima limpahan ekonomi apabila kawasan itu diwakili oleh perdana menteri.
Seorang lagi warga tempatan, Mohd Fazri Mohd Tahir, 42, berkata, keadaan ekonomi yang suram di di Port Dickson disebabkan aktiviti pelancongan yang “membosankan”.
“Kalau orang tanya kita apa menarik dekat PD kita pun susah nak jawab, hanya harapkan pantai, laut.
“Kalau pelancong luar, macam pelancong Arab, mereka suka aktiviti seronok-seronok, macam taman tema atau seumpamanya,” kata pemandu Grab itu.

Fazri berkata, sebelum ini terdapat ura-ura untuk membangunkan taman tema di Port Dickson namun status projek berkenaan tidak dapat dipastikan sehingga hari ini.
“Kalau ada aktiviti lain baru pelancongan di Port Dickson lebih maju, pemandu Grab macam saya nanti pun akan terima limpahannya,” katanya.
Apabila perbualan beralih kepada isu Langkah PD, Fazri juga sependapat dengan Rahim bahawa tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan.
Beliau malah belum sempat mengenali Danyal kerana perkhidnatannya untuk pengundi di kawasan itu terlalu singkat.
“Tak sempat nak kenal wakil rakyat, baru empat bulan dah letak jawatan, sepatutnya tak perlulah letak jawatan, tunggu pilihan raya (umum seterusnya),” katanya.
Setiap hujung minggu, pantai Port Dickson dan Teluk Kemang sentiasa sesak dengan kehadiran pengunjung, namun pada waktu malam tidak banyak aktiviti hiburan ditawarkan.
Bangunan hotel yang ditinggalkan dan terbiar kosong di tepi-tepi pantai turut menjadi tanda bahawa industri pelancongan di situ semakin malap.
Anak tempatan Mohd Sufri Mohd Sah, 37, juga berkata pembangunan industri pelancongan itu penting dalam usaha mengangkat Anwar ke Parlimen kerana ia akan memberi peluang kerja kepada mereka.
“Anwar dialu-alukan di sini, siapa tak kenal Anwar Ibrahim…tapi kami penduduk tempatan mengharapkan pembangunan untuk industri pelancongan dan majukan kawasan ini,” katanya.
Katanya, isu anak tempatan atau calon luar tidak menjadi hal kerana warga Port Dickson juga sebelum ini memilih Danyal Balagopal Abdullah, yang kini meletak jawatan demi Anwar.

“Danyal itu dulu dari Taiping tapi bertanding di sini, orang Port Dickson pilih sahaja dia. Landskap politik sudah berubah, lagi pun kalau pembangkang menang, apa mereka boleh buat,” katanya.
Parlimen Port Dickson mempunyai seramai 75,212 pengundi berdaftar dengan majoriti 42% adalah pengundi Melayu, Cina (33%), dan India (22%).
Di bawah Parlimen itu terdapat lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuah, Lukut, Bagan Pinang, Sri Tanjung, dan Linggi.
Calon PKR Kamarul Baharin Abbas memenangi kerusi itu sejak 2008, ketika ia masih dikenali sebagai kawasan Parlimen Teluk Kemang sebelum persempadanan semula.
Pada PRU14, Danyal memenangi kerusi Parlimen tunggal PKR di Negeri Sembilan itu dengan meraih lebih 36,000 undi.
Calon Barisan Nasional dari MIC, Mogan a/l Velayatham meraih lebih 18,500 undi dan calon PAS Mahfuz Roslan sekitar 6,600 undi. – 20 September, 2018.

Komen