BEKAS Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berharap tiada lagi wakil rakyat parti pembangkang keluar parti seperti tindakan mengejut dua ahli Parlimen, Mustapa Mohamed dan Anifah Aman.
Khairy berkata wakil-wakil rakyat Barisan Nasional perlu membuktikan kepada rakyat mereka boleh menjadi pembangkang yang berwibawa.
“Saya harap wakil-wakil rakyat yang lain akan terus bersama dengan Barisan Nasional. Kita mestilah menjadi pembangkang yang berwibawa.
“Sangat penting untuk kita buktikan kepada rakyat bahawa kita boleh mainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat ahli Parlimen BN di ibu pejabat Umno hari ini.
Terdahulu Khairy secara terbuka menyalahkan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi membawa parti tersebut menjalin kerjasama dengan PAS, yang menyebabkan Mustapa keluar parti.
“Sekarang, kita telah kehilangan sinar utama parti kita. Seorang pemimpin yang pintar dan baik. Ini semua salah kamu, presiden,” coretnya di Twitter.
Perkara sama turut dibangkitkan ahli majlis tertinggi parti, Nazri Aziz yang berkata kedua-duanya, Anifah dan Mustapa bertindak demikian kerana kecewa Umno bekerjsama dengan PAS.

“Saya faham mereka kecewa dengan hala tuju kepimpinan yang bekerjasama dengan PAS. 40 tahun Mustapa melawan PAS di Kelantan.
“Anifah pula tersinggung dan rakyat Sabah juga tersinggung apabila kita bekerjasama dengan PAS,” kata Nazri yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno kepada The Malaysian Insight.
Zahid bagaimanapun menyambut tindakan Anifah dan Mustapa keluar parti hari ini dengan celaan.
Katanya, tindakan kedua-duanya yang keluar parti itu berdepan pelbagai ujian bukan satu sikap terpuji.
Seramai lima ahli Parlimen, termasuk Mustapa dan Anifah dan 13 orang Adun di beberapa negeri sudahpun meninggalkan BN setakat ini, sejak parti itu kalah pilihan raya umum 9 Mei.– 19 September, 2018
Komen