AHLI Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin tiada niat untuk keluar Umno dan berkata sudah tentu tidak akan menghadiri mesyuarat parti jika perkara itu benar.
Beliau turut mengirim gambar beliau bersama pemimpin Umno lain yang sedang mengadakan perbincangan mengenai Belanjawan Alternatif.
“Perbincangan untuk menyediakan Belanjawan Alternatif di sesi Parlimen akan datang,” tulis Khairy.
“Kalau saya nak keluar Umno, saya tak akan datang ke mesyuarat biro politik hari ini,” kata bekas menteri belia dan sukan kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di mana mesyuarat berkenaan diadakan.
Perbincangan untuk menyediakan Belanjawan Alternatif di sesi Parlimen akan datang. pic.twitter.com/uEbmep2tf9
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) September 19, 2018
Antara yang kelihatan dalam gambar tersebut ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung Annuar Musa, Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob, Hamzah Zainuddin, Reezal Merican Naina Merican, Shamsul Anuar Nasarah dan Tajuddin Abdul Rahman.
Semalam, Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed mengumumkan keluar Umno selepas lebih 40 tahun bersama parti.
Ini disusuli Ahli parlimen Kimanis Anifah Aman pagi tadi.
Tersebar menerusi mesej di aplikasi WhatsApp hari ini senarai 17 ahli Parlimen Umno termasuk Khairy dikatakan akan keluar parti.
Umno di bawah BN menang 54 kerusi parlimen pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, namun sejak itu lima ahli Parlimennya telah mengambil keputusan keluar parti. – 19 September, 2018.
Komen