KAWASAN di sekitar Loji Tenaga Nuklear Fukushima Daiichi milik Tokyo Electric Power Company (TEPCO) di utara Jepun beransur-ansur kembali normal, kata Naib Presiden Eksekutif TEPCO Power Grid Inc, Dr Hiroshi Okamoto.
Semasa pembentangannya pada sesi ucaputama mengenai Digitalisasi Industri Bekalan Elektrik dan Pevolusi Industri 4.0 pada hari kedua Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) 2018 selama tiga hari itu, beliau mengambil peluang untuk memberi maklumat terkini mengenai usaha berkaitan penutupan loji nuklear yang dilanda gempa bumi besar pada 11 Mac 2011 tersebut.
Dr Okamoto, yang bertanggungjawab untuk perancangan korporat dan pembaharuan pengurusan di TEPCO berkata, syarikat itu telah mengambil langkah-langkah untuk membasmi pencemaran kawasan sekitar ke tahap yang lebih selamat.
Beberapa usaha pemulihan untuk masyarakat tempatan berhampiran loji nuklear berkenaan termasuk menghidupkan semula stadium bola sepak yang dikenali sebagai Stadium J-Village yang telah digunakan sebagai tempat perlindungan sementara bagi pekerja yang terlibat dalam penutupan loji itu sejak tujuh tahun yang lalu.
Bulan lepas, kira-kira 7,000 penduduk tempatan telah menempah stadium tersebut untuk pelbagai aktiviti.
Stadium J-Village dibuka pada 1997 sebagai pusat latihan kebangsaan pertama di Jepun untuk bola sepak. Ia dibina dan disumbangkan kepada wilayah Fukushima oleh TEPCO.
Berikutan gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac 2011, stadium tersebut digunakan sebagai pangkalan operasi bagi pekerja di loji tenaga berkenaan.
Seramai 410,000 pekerja telah terlibat dalam aktiviti menggalak pemulihan manakala 280,000 pekerja lagi terlibat dalam aktiviti yang berkaitan dekontaminasi antara Januari 2013 hingga April 2017.
TNB menganjurkan CEPSI 2018 bagi pihak Persatuan Industri Bekalan Elektrik di Asia Timur dan Pasifik Barat. – Bernama, 19 September, 2018.
Komen