Mara Patani bimbang pelaksanaan undang-undang tentera di Nongchik


Pengerusi Mara Patani, Awang Jabat ketika mengadakan sidang akhbar di Kuala Lumpur pada 27 Ogos 2015. Mara Patani yang mewakili beberapa kumpulan di selatan Thailand, terlibat dalam siri rundingan damai dengan kerajaan Thailand. Rundingan damai itu diselaraskan oleh Malaysia, yang bertindak sebagai fasilitator. – Gambar fail AFP, 19 September, 2018.

MAJLIS Syura Patani (Mara Patani) menyuarakan kebimbangannya terhadap tindakan Tentera Thailand mengenakan undang-undang tentera di daerah Nongchik, di Pattani dan meminta pihak tentera Thailand menarik balik undang-undang itu dengan segera.

Undang-undang tentera dikuatkuasakan ke atas daerah itu berikutan insiden serang hendap di Kampung Ban Tan, Mukim Ban Khao pada 11 September lepas yang mengorbankan dua anggota tentera dan mencederakan empat yang lain.

“Mara Patani dengan sekeras-kerasnya mengutuk Tentera Bahagian Ke-Empat di atas pelanggaran Hukum Kemanusiaan Antarabangsa dan menyeru badan-badan antarabangsa campurtangan serta menyiasat tindakan menyalahi hukum ini termasuk menarik balik Undang-Undang Tentera dengan segera,” kata jurucakapnya Abu Hafez Al-Hakim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyifatkan undang-undang tentera ditandatangani oleh Panglima Tentera Bahagian ke-4 Lt Jen Piyawat Nakwanich sebagai zalim, yang telah mengakibatkan penangkapan sewenang-wenangnya dan tindak balas melibatkan orang awam yang tidak bersalah.

Mara Patani yang mewakili beberapa kumpulan di selatan Thailand, terlibat dalam siri rundingan damai dengan kerajaan Thailand.

Rundingan damai itu diselaraskan oleh Malaysia, yang bertindak sebagai fasilitator.

Dalam insiden itu, dua anggota Renjer Thailand terbunuh selepas mereka diserang hendap oleh individu bersenjata ketika sedang melakukan rondaan menggunakan motosikal di kampung berkenaan.

Menurut Abu Hafez, Piyawat secara peribadi telah menakut-nakutkan orang awam dengan ugutan hendak menangkap ahli keluarga suspek sebagai hukuman terhadap kejadian itu.

Undang-undang tentera itu menurutnya, juga menghendaki penduduk melapor diri kepada pihak berkuasa, menyerahkan senjata dan kenderaan termasuk perahu nelayan untuk diperiksa.

“Ini menimbulkan ketakutan dan kesusahan kepada penduduk di daerah tersebut serta menjejas  kehidupan seharian mereka di dalam daerah yang bergolak itu,” katanya.

Tentera Thailand telah mengerahkan 1,000 anggota untuk memburu suspek yang dipercayai terlibat dengan insiden serangan hendap itu. – Bernama, 19 September, 2018.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen