Siasatan nahas pesawat Havana kini di peringkat akhir 


Pesawat jenis Boeing 737-200 itu terhempas pada 18 Mei sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jose Marti di Havana. – Gambar EPA, 19 September, 2018

PIHAK berkuasa penerbangan awam Cuba mengumumkan bahawa mereka telah selesai memulihkan kandungan dua kotak hitam pesawat yang terhempas di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Havana pada Mei. 

Para pegawai berkata mereka kini bersedia untuk meneliti rakaman dalam kotak hitam itu “saat demi saat” bagi menentukan sama ada pesawat itu terhempas akibat kesilapan manusia atau masalah teknikal. 

Kotak hitam mencatat data penerbangan mahupun suara-suara di bahagian kokpit, dan stesen televisyen rasmi memetik kenyataan Presiden Institut Penerbangan Awam, Armando Daniel Lopez, bahawa 100 peratus kandungan kotak hitam pertama dan 95 peratus daripada yang kedua telah dipulihkan. 

Jawatankuasa siasatan kerajaan akan menganalisis kandungan maklumat setiap peranti bagi menentukan punca yang mungkin menyebabkan nahas tragik yang meragut nyawa 113 orang yang berada dalam pesawat malang itu.

Hanya seorang terselamat dalam nahas itu, wanita muda rakyat Cuba, namun beliau kini berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital di Havana. 

Pesawat jenis Boeing 737-200 itu, yang disewa oleh Cubana de Aviacion dari sebuah syarikat Mexico, Damojh, terhempas pada 18 Mei sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jose Marti di Havana. 

Mangsa yang maut terdiri daripada 101 rakyat Cuba, lima warga asing dan enam anggota kru rakyat Mexico. 

Pakar dari Cuba, Mexico dan Amerika Syarikat telah mengambil bahagian dalam siasatan berkaitan nahas itu. – Bernama, 19 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen