PENCARIAN berabad lamanya ke atas bangkai kapal terkenal Endeavour yang digunakan oleh James Cook ketika membuat pelayaran yang membawa kepada penemuan Australia dan New Zealand kini mungkin sudah sampai ke penghujungnya.
Sekumpulan ahli arkeologi marin Australia dan Amerika Syarikat (AS) hari ini berkata mereka percaya mungkin telah menemui lokasi di mana kapal itu tenggelam.
Menurut ketua Muzium Maritim Australia, Kevin Sumption, berdasarkan petunjuk awal yang diperolehi, pasukan ahli arkeologi itu berpendapat lokasi di Newport Harbour di Rhode Island, AS berpotesi tinggi di mana bangkai kapal berkenaan berada.
“Banyak kerja terperinci, analisis dan kajian perlu dijalankan sebelum kami boleh secara pasti mengatakan telah menemui bangkai HMB Endeavour James Cook,” kata Sumption.
Endeavour telah membawa Cook belayar sehingga membawa kepada penemuan Australia dan New Zealand, membayangkan penjajahan ke atas benua itu.
Replika kapal itu kini berada di Darling Harbour, Sydney, sebagai tanda memperingati detik penting dalam sejarah Australia moden.
Selepas Cook tidak lagi menggunakan kapal itu, ia dijual kepada seorang pemilik komersil.
Endeavour ditenggelamkan bersama 12 kapal lain di Newport Harbour semasa Perang Kemerdekaan Amerika pada 1778 namun bangkai-bangkai kapal tersebut tidak pernah ditemui. – AFP, 19 September, 2018.
Komen