SEMBILAN rakyat Malaysia yang dibebaskan Pyongyang pulang dengan perasaan penuh emosi pada Jumaat, selepas Kuala Lumpur menghantar pulang mayat abang pemimpin Korea Utara yang dibunuh, sekaligus menamatkan persengketaan diplomatik antara dua negara.
Kim Jong-nam dibunuh dengan ejen saraf VX pada 13 Februari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), mencetuskan krisis antara Malaysia dan Korea Utara, sehingga membawa kepada pengusiran duta dan menghalang rakyat masing-masing daripada meninggalkan negara.
Perjanjian dimaklumkam Perdana Menteri Najib Razak dan disahkan media kerajaan Korea Utara pada Khamis berkata, kedua-dua negara menarik balik larangan perjalanan dan Kuala Lumpur akan menghantar mayat Jong-nam ke negara asalnya.
Rakyat Malaysia – tiga kakitangan kedutaan dan enam ahli keluarga termasuk seorang bayi dan tiga kanak-kanak – mendarat di Kuala Lumpur sebelum matahari terbit dan disambut Menteri Luar Anifah Aman.
Situasi emosi terpancar sejurus selepas kepulangan mereka disambut saudara terdekat dengan tangisan dan pelukan.
Mohamad Nor Azrin, kaunselor Kedutaan Malaysia di Pyongyang berkata, mereka tidak diancam dan bebas bergerak di kawasan sekitar.
“Kami sangat bimbang kerana tidak melakukan sebarang kesilapan tetapi kami harus kuat semangat,” katanya kepada AFP.
Pada Khamis Najib berkata, kerajaannya “bekerja secara intensif di belakang tabir” membawa rakyat Malaysia pulang dan berjanji “mengheret pihak bertanggungjawab terhadap pembunuhan ke muka pengadilan”.
Gemuruh
Rakyat Malaysia diterbangkan dengan pesawat milik kerajaan oleh pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Leftenan Kolonel Hasrizan Kamis berkata, pesawat Bombardier meninggalkan Pyongyang dari pangkalan udara Malaysia pada Khamis, selepas rundingan berjaya.
Pesawat itu singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Fuzhou Changle di China untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia, katanya.
“Terdapat perasaan gemuruh sehinggalah kami keluar dari ruang udara Korea Utara,” katanya. “Semua orang berasa lega.”
Najib pada Khamis memaklumkan di Twitternya krisis diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara berakhir.
Sebelum ini beliau mengumumkan mayat dihantar pulang “berikutan selesainya bedah siasat ke atas si mati dan penerimaan surat daripada keluarganya meminta ia dikembalikan kepada Korea Utara”.
Pada Jumaat, Anifah mengesahkan mayat itu dalam perjalanan ke Korea Utara selepas disimpan di rumah mayat hospital di Kuala Lumpur selama lebih enam minggu.
Korea Selatan menyalahkan Pyongyang atas pembunuhan gaya Perang Dingin tersebut dan menyatakan apa yang mereka (Pyongyang) sampaikan adalah perintah pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un untuk membunuh Jong-nam.
Namun, Korea Utara menafikannya dan mengecam siasatan Malaysia ke atas kematian tersebut dengan mendakwa ia percubaan untuk memburuk-burukkan rejim itu.
Ia berkeras menyatakan Jong-nam meninggal dunia akibat serangan jantung dan mayatnya hendaklah diserahkan kepada Pyongyang.
Alat propaganda
Penganalisis berkata, rejim Korea Utara boleh menggunakan mayat Jong-nam sebagai “alat propaganda”.
“Kemungkinan menggunakan mayat itu untuk mendakwa yang mereka tidak bertanggungjawab dan memberitahu naratif yang lain,” kata Bridget Welsh, pakar politik Asia Tenggara.
Pyongyang enggan mengesahkan identiti mangsa tetapi Malaysia mengesahkannya dengan menggunakan bukti DNA.
Dua wanita – warga Vietnam dan Indonesia – ditahan dan didakwa bertanggungjawab dengan pembunuhan itu.
Rakaman CCTV di lapangan terbang menunjukkan mereka menghampiri mangsa berusia 45 tahun itu dan menekap mukanya dengan sehelai kain.
Penyiasat Malaysia juga mencari tujuh suspek Korea Utara, empat daripadanya sudah meninggalkan Malaysia pada hari pembunuhan itu. – 31 Mac, 2017.
Komen