Kim Jong-un akan ke Seoul, tutup tapak senjata nuklear


Presiden Korea Selatan Moon Jae-in (kiri) dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un bertepuk tangan ketika menyaksikan persembahan kesenian oleh Orkestra Samjiyon di Pyongyang Grand Theatre, semalam. – Gambar AFP, 19 September, 2018. 

PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong-un akan mengadakan kunjungan bersejarah ke Seoul pada masa akan datang, katanya hari ini selepas sidang kemuncak bersama rakan sejawatnya dari Korea Selatan, Moon Jae-in di Pyongyang.

Moon yang ke Korea Utara untuk membawa momentum baharu bagi usaha menghentikan program senjata nuklear Korea Utara, berkata kunjungan Kim itu mungkin diadakan tahun ini, kecuali jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Moon berkata Korea Utara bersetuju untuk menutup tapak ujian enjin senjata dan tapak pelancaran senjata di Tongchang-ri.

Korea Utara sebelum ini melancarkan beberapa ujian senjata dari Sohae – program peluru berpandunya diharamkan di bawah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu – tetapi ia menggunakan banyak lokasi lain untuk melancarkan roket, termasuk dari lapangan terbang Pyongyang.

Gambar satelit pada Ogos menunjukkan beberapa pekerja menanggalkan perkakas ujian enjin, selaras dengan perjanjian dibuat dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Moon berkata Korea Utara juga mungkin akan menutup bangunan nuklear di Yongbyon. – AFP, 19 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen