Buku Woodward tentang Trump terjual 1.1 juta naskhah minggu pertama


Buku Fear: Trump in the White House menjadi buku terlaris apabila jualannya mencecah 1.1 juta naskhah hanya pada minggu pertama ia diedarkan. – Gambar EPA, 19 September, 2018.

BUKU karya wartawan penyiasatan Bob Woodward berjudul “Fear: Trump in the White House” menjadi buku terlaris apabila jualannya mencecah 1.1 juta naskhah hanya pada minggu pertama ia diedarkan.

Ia juga buku paling laris pernah dijual dalam sejarah penerbit buku Simon and Schuster, kata penerbit itu semalam.

Buku yang mendedahkan mengenai maklumat dalaman dan cara pentadbiran Presiden Donald Trump beroperasi itu terjual 900,000 pada 11 September lalu, hari pertama ia dilancarkan, termasuk versi cetak, audio dan digital, kata syarikat itu.

“Hanya satu perkataan yang dapat menggambarkan sambutan terhadap ‘Fear’ dan ia mengagumkan,” kata presiden syarikat itu, Jonathan Karp, 94.

“Apa yang lebih menggembirakan adalah penghargaan pembaca dan pengulas terhadap integriti dan kepentingan Bob Woodward.”

Pencapaian buku itu mengatasi “Fire and Fury” oleh Michael Wolff, juga mengenai pentadbiran Trump, yang terjual lebih dari sejuta naskhah pada minggu pertama ia diedarkan Januari lalu.

Tulisan Wolff itu diikuti oleh buku tulisan bekas ketua FBI, James Comey, “A Higher Loyalty” dan “Unhinged” oleh bekas penasihat Trump, Omarosa Manigault Newman.

Trump cuba menafikan beberapa dakwaan Woodward, yang terkenal dengan liputan skandal Watergate dan peranan yang dimainkannya dalam peletakan jawatan presiden Richard Nixon pada 1974.

Trump menggelar buku itu sebagai “jenaka”, “penipuan” dan satu lagi siri serangan terhadapnya. – AFP, 19 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen