MAJLIS Perubatan Malaysia (MMC) tidak boleh mengambil tindakan terhadap doktor yang dituduh melanggar tatakelakuan profesional melainkan mempunyai bukti mencukupi, lapor The Star.
Seorang doktor yang biasa dengan perihal siasatan tatatertib majlis menyatakan doktor yang dituduh melakukan gangguan seksual boleh ditegur, digantung atau nama dikeluarkan daripada pendaftaran jika mereka melanggar tatakelakuan itu.
Sehingga ini, doktor terbabit hanya digantung dua bulan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam berikutan cadangan daripada Kementerian Kesihatan.
Penggantungan oleh MMC atau pembatalan pendaftaran mestilah berasaskan kepada siasatan disiplin sewajarnya yang dijalankan oleh MMC, lapor berita itu.
Bagi doktor dalam kes yang teruk, MMC diberi kuasa membatalkan pendaftaran di bawah Akta Perubatan dan sijil amalan tahunan yang dianugerahkan oleh Majlis.
“Dakwaan gangguan seksual perlu dibuktikan. Sehingga ia terbukti, MMC tidak boleh mengambil tindakan.
“MMC bertindak secara bebas daripada keputusan Kementerian Kesihatan.”
“Pengadu perlu mengemukakan bukti yang memerlukan siasatan MMC. Sehingga proses itu dijalankan, MMC tidak dapat menghukum doktor,” katanya.
Maklumat mesti menunjukkan berlakunya pelanggaran tatakelakuan.
Tertuduh boleh digantung daripada amalan perubatan sehingga dua tahun, tetapi juga boleh ditangguhkan berdasarkan tingkah laku yang baik untuk jangka waktu ditetapkan oleh lembaga disiplin.
“Jika aduan berulang diterima semasa tempoh penangguhan penggantungan, hukuman mungkin lebih teruk,” katanya.
Beliau menambah pada masa lalu, doktor pernah dibatalkan pendaftaran kerana melanggar undang-undang perlakuan profesional yang serius seperti mengeluarkan sijil perubatan palsu dan mengemukakan sijil pengijazahan perubatan palsu. – 19 September, 2018.
Komen