TUJUH banduan maut semalam selepas berlaku rusuhan di penjara yang terlampau penuh di Para, di utara Brazil, susulan kegagalan dalam cubaan melarikan diri, kata pihak berkuasa.
Seramai 16 banduan cuba melarikan diri menerusi saluran udara pada awal pagi semalam, sebelum mereka dikesan oleh kamera keselamatan.
Insiden itu mencetuskan rusuhan.
Kira-kira 120 banduan terbabit dalam keganasan itu, memulakan api di bilik generator, menyebabkan sebagai sel, klinik dan pejabat sekretariat penjara musnah, kata sumber penjara.
Enam banduan dibunuh oleh rakan banduan mereka sementara tujuh lagi maut terbakar.
Banduan yang merusuh mendesak supaya proses mahkamah dipercepatkan, keadaan di penjara diperbaiki dan pengarah penjara diganti.
Penjara itu berkapasiti 208 banduan tetapi pada masa ini ia menempatkan 374 banduan.
Rusuhan itu berlaku seminggu selepas satu pasukan lelaki bersenjata meletupkan pagar depan penjara di timur laut, menyebabkan 92 banduan melarikan diri selepas membunuh anggota polis.
Brazil mempunyai populasi penjara ketiga terbesar dunia dengan 726,712 banduan pada Jun 2016, menurut statistik rasmi.
Populasi itu dua kali ganda kapasiti penjara di negara berkenaan di mana pada 2016 dianggarkan mampu menampung 368,049 banduan.
Selain terlampau penuh, rusuhan dan cubaan melarikan diri serta keganasan geng adalah perkara biasa di penjara Brazil. – AFP, 19 September, 2018.
Komen