SYRIA menyambut baik perjanjian Rusia-Turki berhubung mewujudkan satu zon bebas tentera di barat laut wilayah Idlib, lapor agensi berita China Xinhua pada Selasa.
Agensi berita rasmi SANA memetik kementerian luar Syria sebagai berkata perjanjian itu dicapai selepas “rundingan intensif” dan koordinasi penuh antara pihak Rusia dan Syria.
Perjanjian bagi mewujudkan satu zon bebas tentera (zon penampan) antara tentera Syria dan kumpulan penentang di Idlib telah diisytihar selepas pemimpin Rusia dan Turki bertemu di bandar peranginan Sochi di Rusia pada Isnin.
Presiden Rusia Vladimir Putin berkata zon bebas tentera itu akan diwujud pada 15 Oktober.
“Ia akan diwujud di sepanjang garis hubungan puak pembangkang bersenjata dan tentera Syria dengan kedalaman 15 hingga 20 kilometer,” katanya pada sidang akhbar bersama yang turut dihadiri rakan sejawatnya dari Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Isnin.
Menerusi perjanjian itu, penentang berjanji untuk berundur dari zon bebas tentera itu bersama senjata berat mereka.
Idlib merupakan kubu kuat utama kumpulan penentang di Syria.
Perjanjian itu dicapai 10 hari selepas pemimpin Iran, Rusia dan Turki mengadakan sidang kemuncak tiga pihak di Tehran, yang menyaksikan pemimpin Iran dan Rusia menolak permintaan Turki untuk mengadakan satu gencatan senjata di Idlib.
Tentera Syria sering menghantar bantuan ketenteraan ke kawasan yang berada di barisan hadapan sekitar Idlib sebagai sebahagian daripada persediaan untuk melakukan serangan besar-besaran bagi menawan semula Idlib, yang dihuni tiga juta penduduk dan kira-kira 50,000 pemberontak. – Bernama, 18 September, 2018.
Komen