PKR Sarawak menguji semangat muhibah dan autonomi jabatan imigresen negeri itu dengan menjemput beberapa pemimpin yang “disenaraihitamkan” ke majlis rumah terbuka Hari Raya, esok.
Naib presiden Nurul Izzah Anwar dan ketua wanitanya Zuraida Kamaruddin merupakan antara tetamu jemputan daripada ramai ahli politik dan pemimpin organisasi dari Semenanjung yang diisytiharkan kerajaan Sarawak sebagai persona non grata.
“Kami harap mereka dibenarkan masuk,” kata ketua PKR Sarawak Baru Bian ketika ditanya sama ada Nurul dan Zuraida bebas daripada sekatan dan boleh menghadiri majlis itu.
“Kita mengharapkan jasa baik kerajaan dalam semangat Hari Raya,” kata ketua strategi pilihan raya parti, Baharuddin Mokhsen.
Zuraida yang merupakan ahli Parlimen Ampang, dijadualkan tiba di Kuching jam 1 petang esok manakala Nurul yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai dijangka tiba jam 7 malam.
Sementara itu di Kuching, Nurul yang juga anak kepada ketua de facto Pakatan Harapan Anwar Ibrahim juga akan menghadiri sesi “townhall” dengan belia pada Ahad pada program “Sesi teh tarik dan borak santai bersama Nurul Izzah” di Kampung Pinang Jawa, sebuah perkampungan Melayu di Putra Jaya.
Nurul dilarang memasuki Sarawak melalui Kuching pada Disember 2015.
Dia sepatutnya mengumumkan calon PKR untuk pilihan raya negeri Sarawak.
Sekatan itu dibuat dewan undangan negeri Sabah selepas gambarnya dirakam ketika mengadakan pertemuan dengan Jacel Kiram, anak kepada Sultan Sulu yang menjadi dalang serangan di Lahad Datu.
Zuraida pula disekat pada Januari tahun lalu. Dia juga ke sana untuk pilihan raya negeri.
12 exco Wanita PKR termasuk timbalan presiden Haniza Talha dan naib presiden Noorshan Abu Samah yang turut berada bersama Zuraidah bagaimanapun dibenarkan memasuki negeri itu.
Ketua Menteri Abang Johari Openg memberi peluang pada Jun tahun lalu apabila membenarkan pemimpin PR yang disenarai hitam untuk masuk dan berada di negara itu seminggu bagi memberi penghormatan dan menghadiri pengebumian ahli parti mereka yang juga aktivis hak pribumi Bill Kayong.
Antara yang mengambil kesempatan dengan kelonggaran sementara itu adalah Nurul dan naib presiden yang juga ahli Parlimen Batu, Tian Chua.
Hanya pada minggu lalu timbalan setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani S. Kaniapan, disekat daripada memasuki Sarawak.
Bawani ke Kuching untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya.
Dia bersama naib presiden PKR, Rafizi Ramli; ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua; ahli Parlimen Subang R. Sivarasa; bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution; ketua Perkasa Ibrahim Ali; bekas pengerusi Bersih 2.0 S. Ambiga; aktivis sosial Steven Ng, Cynthia Gabriel, Wong Chin Huat dan Johan Tan; ketua pembangkang Sabah Jeffrey Kitingan; ahli akademik Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan pemimpin Baju Merah Jamal Md Yunos antara yang disenarai dalam larangan itu.
Pendakwah yang juga pelarian India, Zakir Naik juga dilaporkan tersenarai dalam sekatan.
Sarawak sering menggunakan kuasa autonominya ke atas imigresen untuk menghalang kemasukan individu yang dilihat “ekstremis, pelampau agama dan racis”. – 4 Ogos, 2017.
Komen