Anak derhaka tak jaga ayah uzur dipenjara 2 tahun


China menggubal undang-undang mewajibkan anak-anak melawat dan menjaga ibu bapa berusia 60 tahun ke atas pada 2013. Tahun ini sahaja tiga kes anak gagal menjaga ibu bapa dibawa ke mahkamah. – Gambar EPA, 18 September, 2018.

MAHKAMAH China menjatuhkan penjara dua tahun kepada seorang lelaki kerana mengabaikan ayahnya, hukuman berat yang jarang dijatuhkan kerana melanggar undang-undang mewajibkan anak menjaga orang tua mereka.

Empat adik beradik perempuannya pula dijatuhi hukuman penjara tertangguh kerana mengabaikan ayah mereka, umum Mahkamah Daerah Sichuan, China di media sosial mereka minggu lepas.

Mereka tinggal dan bekerja berhampiran kampung ayah mereka tinggal yang hanya dikenali sebagai Zhang dengan isterinya.

Pada 2010, anak mereka meninggalkan rumah memberi sebab ayah mereka yang kerap marah. Ketika berpindah, beliau membawa bersama ibunya, meninggalkan ayahnya yang berusia 70-an sendirian.

Disebabkan kesihatan Zhang semakin buruk, pihak berkuasa kampung mula menghubungi keluarganya mendesak mereka pulang untuk menjaga ayah mereka.

Anak-anak itu tidak mempedulikan panggilan itu malah menyekat nombor telefon pegawai.

Pada 2016, kesihatan Zhang semakin buruk tetapi anak-anaknya masih enggan pulang.

Akhirnya, pihak berkuasa kampung memutuskan untuk membawa kes itu ke mahkamah. Tetapi sudah terlambat kerana Zhang meninggal dunia bersendirian di rumahnya pada usia 80 tahun.

“Kes itu mewujudkan kesan buruk terhadap masyarakat,” tulis mahkamah menambah yang penjagaan ibu bapa adalah “tradisi etika indah orang Cina”.

Pada 2013, undang-undang digubal memerlukan anak melawat dan menjaga ibu bapa mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Ia mencetuskan kontroversi tetapi jarang dilaksanakan.

Bagaimanapun situasi itu bakal berubah- kes Zhang adalah kes ketiga tahun ini anak lelaki atau anak perempuan dihukum kerana gagal menjaga ibu bapa mereka.

Mac lalu, seorang lelaki dipenjara dua bulan kerana gagal memberi 60 yuan (AS$9) sebulan kepada ibu bapanya yang tua. Awal bulan ini pula, seorang wanita dipenjara 15 hari kerana enggan memberikan 100 yuan sebulan kepada ibunya. – AFP, 18 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen