KETUA whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Fadillah Yusof meminta sokongan diberikan terhadap usaha Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan hak sama rata kepada Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Fadillah yang juga merupakan bekas menteri kerja raya, berkata Dr Mahathir dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh bergantung harap kepada sokongan 19 ahli Parlimen GPS untuk meminda peruntukan di dalam Perlembagaan seperti kontroversi pindaan Perkara 1 (2 ) Perlembagaan Persekutuan pada 1976.
Perkara 1 (2) dipinda untuk menurunkan status Sabah dan Sarawak daripada menjadi kawasan atau wilayah dalam Malaysia dan pindaan itu dibuat tanpa mendapat persetujuan daripada kedua-dua negeri
Pengembalian status itu merupakan antara tuntutan utama Sabah dan Sarawak dalam usaha mereka memastikan Putrajaya mematuhi MA63.
Fadillah berkata tidak adil jika Dr Mahathir membuat andaian bahawa pihak pembangkang terutamanya di Sarawak, tidak akan menyokong beliau berhubung perkara itu yang berkait rapat dengan kepentingan Sarawak.
Semalam perdana menteri berkata walaupun Putrajaya berjanji untuk mengembalikan hak wilayah Borneo, tetapi proses itu tidak mudah kerana kerajaan PH tidak berkuasa sepenuhnya atau memiliki majoriti 2 per tiga di dalam Parlimen.

Fadillah ketika menjawab pertanyaan The Malaysian Insight, berkata kesemua 19 ahli Parlimen GPS dan 10 ahli Parlimen dari Gabungan Bersatu Sabah (GBS) bersama 125 wakil PH di Parlimen akan menjadikan jumlah undi sebanyak 154 daripada 222 undian keseluruhan bagi melaksanakan sebarang pindaan.
“Jumlah 154 undi sudah melepas dua pertiga daripada 148 yang diperlukan,” katanya.
Fadillah berkata terdapat kemungkinan ahli Parlimen dari Umno, MCA, MIC atau PAS yang akan menyokong pindaan tersebut, seperti yang ditunjukkan sebelum pilihan raya umum yang lalu apabila mereka menyatakan sokongan untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata kerajaan PH kini perlu menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan bahawa mereka mahu mengembalikan semua syarat yang telah diubah dan dilanggari dalam perjanjian itu.
Menteri Muda Perundangan, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali seperti dilaporkan akhbar tempatan hari ini, berkata adalah tidak mustahil untuk Putrajaya mengembalikan hak untuk Sabah dan Sarawak tanpa perlu melalui Parlimen.

Katanya perkara ini boleh dilaksanakan berdasarkan kajian Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.
“Laporan IGC amat jelas. Ia perlu dibandingkan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
“Ia (perjanjian dan syarat) tidak boleh diabaikan..ia boleh dikembalikan tanpa perlu melalui pindaan Parlimen.
“Mereka boleh melakukannya, jika mahu.” – 18 September, 2018.
Komen