Insiden pesawat ditembak jatuh, Rusia beri amaran kepada Israel


Pesawat jenis IL-20M milik Rusia ditembak jatuh di wilayah Latakia Syria yang mengorbankan 15 krew. – Gambar AFP, 18 September, 2018.

KEMENTERIAN Pertahanan Rusia memberi amaran kepada Israel bahawa Moscow akan bertindak balas susulan insiden sebuah pesawat negara itu ditembak jatuh di Syria.

Rusia menuduh Israel bertanggungjawab atas insiden tersebut yang mengorbankan 15 tenteranya.

“Kejadian pesawat Rusia jenis IL-20M ditembak jatuh dan kematian krew dipertanggungjawabkan ke atas Israel,” kata Menteri Pertahanan Sergei Shoigui ketika menghubungi rakan sejawatnya dari Israel, Avigdor Lieberman.

Moscow berulang kali meminta Israel daripada melancarkan serangan di wilayah Syria yang membahayakan tentera Rusia, katanya.

“Tindakan tentera Israel tidak menunjukkan semangat kerjasama Rusia-Israel dan kita mempunyai hak untuk bertindak balas.”

Rusia melancarkan operasi mencari dan menyelamat di lokasi pesawat itu terhempas, kira-kira 27 kilometer dari pekan Baniyas di wilayah Latakia.

Beberapa mayat krew dan serpihan pesawat telah diambil oleh tentera laut Rusia. – AFP, 18 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen