Afrika Selatan benarkan penggunaan peribadi ganja


Timbalan Ketua Hakim Raymond Zondo mengeluarkan penghakiman sebulat suara itu di Mahkamah Perlembagaan Johannesburg, berkata yang undang-undang pengharaman penggunaan ganja oleh orang dewasa melanggar perlembagaan dan kerana itu terbatal. – Gambar EPA, 18 September, 2018.

MAHKAMAH tinggi Afrika Selatan pada Selasa memutuskan yang penggunaan peribadi ganja dibenarkan dalam kes yang jadi pertikaian penyokong ganja dan badan kehakiman.

Timbalan Ketua Hakim Raymond Zondo mengeluarkan penghakiman sebulat suara itu di Mahkamah Perlembagaan Johannesburg, berkata yang undang-undang pengharaman penggunaan ganja oleh orang dewasa “melanggar perlembagaan dan kerana itu terbatal”.

“Ia tidak akan jadi kesalahan jenayah untuk seorang dewasa menggunakan atau menyimpan ganja secara persendirian dan digunakan dirinya sendiri,” putusnya yang disambut sorakan hadirin dalam mahkamah.

Mahkamah juga memerintahkan Parlimen untuk menggubal undang-undang dalam tempoh 24 bulan bagi melaksanakan arahan itu.

Sebuah mahkamah di Western Cape mengeluarkan penghakiman pada Mac 2017 yang larangan penggunaan ganja oleh orang dewasa di rumah sebagai melanggar perlembagaan, serta merta menjadikan ia bukan lagi jenayah dalam daerah itu termasuklah Cape Town.

Tetapi badan kehakiman, polis, Kementerian Kesihatan dan Perdagangan mencabar penghakiman itu, berhujah yang “wujud bukti objektif kesan buruk ganja.”

Penghakiman pada Selasa itu bagaimanapun masih meletakkan kesalahan jenayah pada penggunaan dadah di kawasan awam, pengedaran atau urusan jual beli tetapi pemilikan dan penggunaan ganja oleh orang dewasa bukan lagi satu jenayah.

Sebelum ini, pemilikan, penanaman atau penggunaan ganja- dalam kuantiti kecil sekalipun- membawa hukuman penjara, denda dan rekod jenayah.

Tiga pengguna ganja yang berdepan pendakwaan kerana penggunaan dadah berhujah di Mahkamah Perlembagan yang larangan itu “menceroboh tanpa sebab ruang peribadi mereka”.

Aktivis turut mendesak penggunaan ganja di ruang awam tidak lagi jadi jenayah.

“Ia tak cukup, kita juga ada soal kerahsiaan individu, ketika berjalan di ruang awam, dan kerana itu perlu dibenarkan membawa ganja di tempat awam,” kata Jeremy Acton, ketua Parti Dangga yang memperjuang hak pengguna ganja.

Penggunaan kanabis dan ganja perubatan semakin meningkat di beberapa negara dunia bagi meredakan kesakitan pesakit kanser, glaucoma, HIV dan Aids dan penyakit kronik lain.

Tetapi mereka yang menentang usaha itu berkata wujud kebimbangan pengguna ganja akan beralih kepada dadah jenis lain yang lebih buruk.

Di seluruh dunia, undang-undang berkaitan ganja berbeza. Di Portugal misalnya, pemilikan dan penggunaan dibenarkan, tetapi di Arab Saudi ia boleh membawa hukuman mati. – AFP, 18 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen