AS percaya Syria silap tembak pesawat Rusia


Dalam insiden itu, sebuah pesawat Rusia yang membawa 14 anggota tentera hilang dari radar berhampiran pangkalan udara Hmeymim pada petang Isnin. – Gambar EPA, 18 September, 2018.

AMERIKA Syarikat (AS) percaya bahawa pesawat Rusia yang hilang pada Isnin di ruang udara Mediterranean telah tersilap ditembak jatuh oleh pasukan tentera Syria, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

Dalam insiden itu, sebuah pesawat Rusia yang membawa 14 anggota tentera hilang dari radar berhampiran pangkalan udara Hmeymim pada petang Isnin.

Pangkalan udara Hmeymim telah melancarkan satu operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan pesawat yang hilang itu, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia.

Agensi berita CNN, yang memetik seorang pegawai AS yang enggan dikenali, melaporkan bahawa pesawat peronda maritim Rusia itu telah ditembak secara tidak sengaja oleh pasukan artileri anti-pesawat Syria yang ditugaskan untuk melawan serangan peluru berpandu.

Terdahulu pada Isnin, media Syria melaporkan satu serangan peluru berpandu ke atas bandar Latakia.

Kerajaan Syria belum mengumumkan pihak yang bertanggungjawab di sebalik serangan itu namun stesen TV rasmi negara tersebut telah menuding jari ke arah Israel sebagai dalangnya.

Sean Robertson,seorang jurucakap bagi Pentagon, memberitahu pemberita pada Isnin bahawa peluru berpandu terbabit bukan ditembak oleh tentera AS. – Bernama, 18 September, 2018.

Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen