MENTERI luar Iran pada Selasa memuji perjanjian antara Turki dan Rusia untuk menghalang serangan ke atas kubu kuat terakhir pemberontak di Idlib, Syria menganggapnya sebagai “diplomasi bertanggungjawab.”
Selepas rundingan lebih empat jam di sebuah hotel di Laut Hitam, Sochi pada Isnin, sekutu pemerintah Syria, Rusia dan Turki yang menyokong pemberontak bersetuju untuk mewujudkan sebuah zon bebas ketenteraan di sekitar kubu kuat pemberontak.
“Diplomasi bertanggungjawab yang hebat sejak beberapa minggu lepas…berjaya menghalang perang berlaku di Idlib dengan komitmen teguh untuk menentang keganasan pelampau,” kata Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif menerusi akaun Twitternya.
“Diplomasi berkesan,” tambahnya merujuk kepada lawatannya ke Ankara dan Damsyik serta persidangan tiga negara antara pemimpin Iran, Rusia dan Turki awal bulan ini.
Tehran dan Moscow adalah penyokong kuat Presiden Bashar al-Assad dalam perang saudara yang sudah masuk tahun ketujuh itu, sementara Ankara pula menyokong pemberontak yang mahu menyingkirkan pemimpin Syria.
Presiden Rusia Vladimir Putin dan rakan sejawat Turkinya, Recep Tayyip Erdogan pada Isnin bersetuju untuk membentuk zon penampan seluas 15-20 kilometer di sepanjang sempadan hubungan antara pemberontak dan tentera kerajaan Syria pada 15 Oktober.
Perjanjian itu turut memasukkan “pengunduran semua pejuang radikal” dari Idlib serta “senjata berat dari zon itu,” kata Putin. – AFP, 18 September, 2018.
Komen