AHLI akademik Islam terkenal, Tariq Ramadan yang dihadapkan tuduhan merogol akan bersemuka dengan salah seorang penuduhnya di mahkamah Perancis pada Selasa, semasa permohonan ikat jamin selepas tujuh bulan berada dalam tahanan.
Tariq, seorang pengulas TV dan profesor di Unversiti Oxford diarahkan bercuti apabila timbul dakwaan merogol ketika kempen “Me Too” dilancarkan tahun lepas.
Warga Switzerland dan cucu kepada pengasas Ikhwanul Muslimin itu didakwa di Perancis pada Februari kerana merogol dua wanita di hotel pada 2009 dan 2012.
Media tempatan pada Ahad melaporkan pihak pendakwa Swiss juga telah membuka kertas siasatan terhadap dakwaan bahawa beliau merogol seorang wanita di sebuah hotel di Geneva pada 2008.
Tariq, 56, telah banyak kali memohon ikat jamin dengan alasan sukar mendapatkan rawatan bagi penyakit sklerosis berbilang yang dihidapinya apabila berada dalam penjara.
Bagaimanapun, hakim memutuskan bahawa beliau mendapat rawatan yang secukupnya di hospital penjara di Fresnes yang terletak di pinggir selatan Perancis.
Tariq akan berdepan dengan wanita kurang upaya yang hanya dikenali dengan nama “Christelle” yang menuduhnya melakukan perbuatan rogol di bandar Lyon di timur Perancis pada 2009.
Beliau pada mulanya akan bertemu Christelle pada perbicaraan pertengahan Julai lalu tetapi ia ditangguhkan selepas peguam memaklumkan wanita itu tidak sihat.
Pada perbicaraan sebelum ini, Christelle menyebut parut pada pangkal Tariq sebagai bukti bahawa mereka berdua mempunyai hubungan intim, namun peguambela membalas dengan berkata butiran seperti itu boleh didapati dari salah seorang bekas perempuan simpanan Tariq. – AFP, 18 September, 2018.
Komen