Serangan terhadap Tommy Thomas akan makin hebat


The Malaysian Insight

Mereka yang mahu beliau gagal termasuk individu dan kumpulan yang selesa dengan status quo dan mereka yang percaya beberapa jawatan kerajaan mesti dipegang orang Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2018.

TOMMY Thomas jadi sasaran serangan dan khabar angin sejak dilantik sebagai peguam negara tiga bulan lalu.

Baru beberapa hari lepas, Thomas dihubungi oleh seseorang yang mahu pengesahan apakah beliau sudah letak jawatan. Beliau menafikannya dan kemudian melupakannya kerana sedar bukan semua orang menerima pelantikannya. 

Tetapi petang tadi beliau terkejut apabila mendapat panggilan telefon bertalu-talu selepas sebuah portal berita menyiarkan laporan mengenai perletakan jawatannya.

Thomas memberitahu The Malaysian Insight: “Itu tak betul sama sekali. Saya masih peguam negara… Wartawan itu sepatutnya cuba mengesahkan maklumat yang dia terima.”

Betullah.

Persaingan untuk jadi yang pertama menyiarkan berita dan melaporkan berita eksklusif begitu sengit. Namun, tiada apa yang lebih merugikan daripada menyiarkan berita yang tidak benar.

Portal berita itu sudah menarik balik laporan berkenaan.

Tetapi apa yang sudah tersebar tidak dapat dipadam.

Ada kebarangkalian “berita” peguam negara letak jawatan ini disebarkan untuk memulakan naratif baru tentang kedudukannya. Berita itu mahu mengacau Thomas dan mencetuskan persepsi beliau kini berdepan tekanan dari dalam sistem sendiri sehingga memaksa beliau menyerah kalah.

Tommy Thomas berdepan tugas mencabar bukan sahaja untuk mendakwa semua dalang penyelewengan harta negara, tetapi juga menangkis serangan peribadi dan profesional terhadapnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2018.

Apakah Thomas berdepan halangan pada kedudukannya sebagai peguam negara? Ya, sudah tentu.

Mereka yang mahu beliau gagal termasuk individu dan kumpulan yang selesa dengan status quo dan mereka yang percaya beberapa jawatan kerajaan mesti dipegang orang Melayu.

Adakah beliau akan berhenti sekerat jalan sebelum tempoh jawatan dua tahunnya sampai? Tidak mungkin.

Thomas dibawa masuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan rakan-rakannya selepas PRU14 untuk menangani skandal 1MDB dan mendakwa dalang utama kleptokrasi terbesar dunia itu. Pendakwaan mereka yang dituduh terlibat dan usaha mendapatkan semula duit yang hilang sedang rancak berjalan.

Kita tidak nampak Thomas akan berundur sebelum semua dalang itu masuk penjara.

Sementara itu, akan ada banyak lagi serangan dan khabar angin tentang Thomas. 

Kenapa?

Kerana beliau mewakili perubahan dan bukan semua orang di Malaysia mahukan perubahan. – 18 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen