Bilionair Jepun bakal ke bulan pada 2023


Yusaku Maezawa akan menjadi manusia awam pertama di dunia yang melawat bulan dengan menaiki kapal angkasa SpaceX. – Gambar AFP, 18 September, 2018.

SEORANG bilionair Jepun bakal menjadi lelaki awam pertama melawat bulan seawal 2023 menggunakan pesawat SpaceX.

Yusaku Maezawa yang juga merupakan taikun fesyen dalam talian, merancang membawa lapan artis bersamanya dalam misi tersebut.

Maezawa, 42, akan menjadi pengembara pertama ke bulan selepas misi Apollo oleh Amerika Syarikat (AS) pada 1972.

“Sejak kecil, saya memasang hasrat untuk ke bulan,” kata Maezawa di ibu pejabat SpaceX dan kilang roket di Hawthorne, California, lewat Isnin.

“Saya mahu ke bulan bersama artis.”

Katanya beliau akan menjemput artis dari pelbagai bidang termasuk pelukis, pengukir, model, pemuzik, pengarah filem, pereka fesyen dan arkitek.

“Jika anda mendapat jemputan, tolong bersetuju dan jangan sesekali menolak,” katanya.

“Saya berharap mereka yang menyertainya akan mencipta sesuatu selepas pulang ke bumi. Hasil ciptaan mereka akan menjadi inspirasi untuk kita semua.”

Maezawa merupakan ketua eksekutif laman web perniagaan fesyen terbesar di Jepun dan individu ke-18 terkaya di negara itu dengan kekayaan AS$3 bilion (RM12 bilion).

Sehingga kini, hanya angkasawan AS yang pernah menjejakkan kaki di bulan.

Sebelum ini, pelancong angkasa pertama Dennis Tito yang merupakan ahli perniagaan AS membayar sebanyak AS$20 juta (RM80 juta) untuk menaiki kapal angkasa ke Stesen Angkasa Antarabangsa pada 2001. – AFP, 18 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen