Campur tangan tentera Myanmar dalam politik perlu dihentikan, kata PBB


Campur tangan tentera Myanmar dalam politik perlu dihentikan susulan pendedahan PBB terhadap jenayah perang yang dilakukan pihak keselamatan semasa operasi ketenteraan ke atas etnik Rohingya pada tahun lalu. – Gambar AFP, 18 September, 2018.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB) menggesa tentera Myanmar agar tidak terlibat dalam politik selepas satu siasatan mendapati penglibatan pucuk pimpinan tentera dalam kes pembunuhan besar-besaran etnik Islam Rohingya.

Operasi ketenteraan Myanmar pada tahun lalu menyaksikan lebih 700,000 penduduk Rohingya menjadi pelarian di sempadan Bangladesh.

Laporan PBB setebal 444 muka surat itu menggesa pucuk pimpinan tentera yang dikenali sebagai Tatmadaw, digantikan dengan pemerintahan awam agar tiada lagi campur tangan dalam politik oleh pihak tentera.

Tentera Myanmar mendominasi pemerintahan negara itu dengan menguasai suku kerusi Parlimen dan mengawal tiga kementerian iaitu hal ehwal dalam negeri, sempadan dan pertahanan.

Namun laporan PBB berkata pentadbiran awam negara itu perlu berusaha lebih keras untuk mengenepikan Tatmadaw daripada campur tangan politik.

Laporan yang dibuat hasil siasatan selama 18 bulan dan melibatkan 850 saksi, mendapati jenayah perang yang dilakukan oleh tentera Myanmar termasuk ketua tentera Min Aung Hlaing sepanjang operasi ketenteraan ke atas etnik Rohingya.

Susulan itu, PBB menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyiasat mereka yang terlibat.

Tentera Myanmar menafikan sebarang salah laku, sebaliknya menegaskan kempen itu bertujuan menghapuskan kumpulan pemberontak Rohingya. – AFP, 18 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen