Game of Thrones menang besar anugerah Emmy


Pelakon dan kru drama bersiri Game of Thrones bergambar untuk media selepas memenangi kategori siri drama terbaik dalam anugerah Emmy hari ini. – Gambar AFP, 18 September, 2018.

DRAMA epik fantasi HBO, “Game of Thrones” kembali ke pentas Anugerah Emmy hari ini, dengan memenangi anugerah siri drama terbaik.

Antara pemenang lain dalam anugerah berprestij itu ialah “The Marvelous Mrs Maisel” yang menggondol lapan anugerah Emmy termasuk siri komedi terbaik.

“The Handmaid’s Tale” – yang memenangi kategori drama terbaik tahun lalu – pulang dengan tangan kosong pada anugerah diadakan di Microsoft Theater itu hari ini.

Acara itu diacarakan oleh Colin Jost dan Michael Che dalam majlis gemilang yang turut menyentuh pelbagai isu dalam lawak jenaka mereka, dan antaranya ialah kepelbagaian di Hollywood, kempen pendedahan serangan seksual #MeToo dan Presiden Donald Trump.

Matthew Rhys memenangi pelakon drama terbaik menerusi siri aksi perisik “The Americans”, sementara Claire Foy pelakon wanita terbaik bagi wataknya sebagai Queen Elizabeth II dalam “The Crown” dan Henry Winkler menang kategori pelakon pembantu komedi menerusi “Barry”.

Peter Dinklage membawa pulang anugerah pelakon pembantu terbaik menerusi wataknya sebagai Tyrion Lannister dalam “Game of Thrones”.

“Menulis skrip untuk pelakon-pelakon ini satu penghormatan seumur hidup untuk kami,” kata pencipta bersama siri itu, David Benioff.

“Tetapi kami tidak mencipta karakter ini. Itu ciptaan George R.R. Martin. Drama ini tidak akan wujud tanpa George.”

“Game of Thrones” menang sembilan anugerah Emmy tahun ini, menjadikan drama tentang peperangan dalam pergelutan merebut takhta besi – yang akan kembali bersiaran pada 2019 untuk sambungannya bagi musim terakhir – kini mempunyai 47 anugerah.

Jumlah itu memecahkan rekod sebagai drama fiksyen paling banyak anugerah sejak Akademi Televisyen mula menganjurkan anugerah pada 1949. – AFP, 18 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen