Doktor ‘pemangsa seks’ digantung tugas 2 bulan


Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata siasatan mendapati doktor terbabit melakukan serangan seksual terhadap 38 orang sejak mula bertugas di hospital itu pada 2009. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2018.

SEORANG doktor yang dikaitkan dengan tuduhan gangguan seksual di sebuah hospital di Lembah Klang digantung tugas selama dua bulan, bermula semalam, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Menteri kesihatan berkata siasatan kementerian mendapati ketua jabatan ortopedik itu melakukan serangan seksual terhadap 38 orang sejak mula bertugas di hospital itu pada 2009.

“Keputusan itu dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 14 September. Ini bagi membantu siasatan lanjut.

“Kementerian juga akan memulakan siasatan dalaman minggu depan dan laporan akan dihantar kepada SPA untuk membolehkan mereka membuat keputusan sama ada perkhidmatan doktor berkenaan akan ditamatkan secara kekal,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Serangan seksual yang dilakukan doktor itu mula mendapat perhatian pada Julai selepas Star mendedahkannya.

Dilaporkan pakar itu didakwa menyerang doktor pelatih wanita di bawah penyeliaannya.

Lelaki itu didakwa menyasarkan doktor pelatih muda dan wanita kerana mereka akan bergantung kepadanya untuk lulus latihan perubatan.

Salah seorang mangsa mendakwa membuat laporan polis tahun lalu terhadap lelaki terbabit, tetapi dikatakan tiada tindakan diambil.

Kementerian Kesihatan kemudian mengarahkan pakar itu bercuti sehingga siasatan selesai berhubung tuduhan itu. – 18 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen