KEJADIAN tembakan oleh kumpulan lelaki bersenjata yang menyamar sebagai pemuzik mariachi di Garibaldi Plaza, Mexico City telah meragut nyawa mangsa yang keenam, kata seorang pegawai pada Isnin.
Insiden yang berlaku pada malam Jumaat lepas menggemparkan penduduk dan mencetus suasana kacau-bilau di dataran tersebut, yang cukup terkenal dengan persembahan pemuzik yang memakai topi sombrero.
Menurut penyiasat, ketika itu dataran plaza dipenuhi dengan penduduk tempatan serta pelancong yang menyambut hari kemerdekaan Mexico. Secara tiba-tiba, muncul kumpulan lelaki tersebut, melepaskan sekurang-kurangnya 60 tembakan dan kemudian melarikan diri menaiki motosikal.
Datuk Bandar Mexico, Jose Ramon Amieva berkata penyiasat sudah mengenal pasti penembak berkenaan.
Menurutnya lagi, kejadian tembak itu adalah sebahagian daripada perang antara dua gangster dadah tempatan, La Union dan Anti-Union de Tepito.
Kejadian itu menyebabkan lima orang mati - tiga lelaki dan dua wanita - manakala lapan lagi cedera. Mangsa keenam, seorang lelaki berusia 32 tahun meninggal dunia di hospital, kata pendakwa raya. – AFP, 18 September, 2018.
Komen