PINTU Korea Utara masih terbuka untuk pelancong daripada Amerika Syarikat, kata Pyongyang pada Jumaat, walaupun Washington melarang rakyatnya melancong ke sana berikutan kematian pelajar AS yang dipenjarakan di negara itu.
Larangan AS berkuatkuasa 1 September diperkenalkan pegawai kerajaannya berkata, terdapat “risiko serius” penahanan pihak berkuasa Pyongyang terhadap pelancong yang menunjukkan “bahaya terhadap keselamatan fizikal” rakyatnya.
Tindakan itu adalah susulan kematian pelajar berusia 22 tahun Otto Warmbier, yang dijatuhkan hukuman kerja berat selama 15 tahun di negara itu kerana mencuri poster propaganda ketika lawatan namun dibebaskan dalam keadaan koma pada Jun dan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
Namun, jurucakap daripada kementerian luar Korea Utara berkata warga Amerika masih dialu-alukan ke negara itu.
“Kami sentiasa membuka pintu kepada warga AS yang mahu berkunjung ke negara kami dengan tujuan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan lapor agensi berita Korean Central.
Washington mengisytiharkan pasport AS tidak sah untuk perjalanan ke, dalam atau melalui Korea Utara.
“Tiasa sebab untuk pelancong asing rasa terancam dalam negara Korea Utara yang memiliki sistem negeri paling stabil dan kukuh,” katanya.
Beberapa rakyat AS berdepan “hukuman mengikut undang-undang Korea Utara” kerana melakukan jenayah dalam negara itu, tambahnya.
Syarikat pelancongan berkata, terdapat 5,000 pelancong Barat melawat Korea Utara setiap tahun, dengan 20% daripadanya adalah warga AS.
Kematian Warmbier menambahkan ketegangan sedia ada berikutan cita-cita negara itu menguasai senjata.
Beberapa minggu alu, Pyongyang melancarkan dua ujian peluru berpandu balistik antara benua yang menurut pakar, mampu mencapai negara AS. – AFP, 4 Ogos, 2017.
Komen