Taufan Mangkhut: Berpuluh lagi mangsa tanah runtuh di Filipina masih hilang


Taufan Mangkhut menyebabkan berpuluh lagi mangsa tanah runtuh masih hilang di Filipina selepas taufan kuat itu melanda Hong Kong dan selatan China. – Gambar AFP, 18 September, 2018.

PEKERJA penyelamat Filipina masih mencari berpuluh-puluh lagi mangsa dipercayai tertimbus tanah runtuh akibat taufan Mangkhut, yang turut menyebabkan kemusnahan di Hong Kong dan jutaan orang dipindahkan di selatan China.

Jumlah kematian di utara Filipina, pulau utama di Luzon akibat angin kuat dan hujan, mencecah 65 orang semalam dan dijangka meningkat, berdasarkan kepada jumlah orang hilang yang bertambah.

Empat lagi terbunuh di Guangdong, selatan China.

Pencari menggunakan penyodok untuk menggali tanah berbatu di kawasan pergunungan di Itogon, utara Filipina, di mana 11 mayat dikeluarkan dari serpihan itu dan berpuluh lagi mungkin masih terperangkap selepas tanah runtuh menimbus kawasan perlindungan kecemasan.

Saudara mara mangsa turut menyertai operasi mencari mangsa terselamat, dengan harapan nipis yang mereka masih selamat.

“Kami percaya mereka, mungkin 99% meninggal dunia,” kata datuk bandar Victorio Palangdan.

Lebih 155,000 masih berada di pusat pemindahan di Filipina selepas dua hari Mangkhut – ribut taufan paling kuat tahun ini – melanda, kata jurucakap polis Benigno Durana.

Seluruh utara Luzon, pengeluar terbesar beras dan jagung negara itu, kawasan kebun diselaputi lumpur, memusnahkan tanaman mereka sebulan sebelum ia dituai.

Hong Kong semalam memulakan kerja pembersihan selepas taufan itu melanda bandarnya, menumbangkan pokok dan menyebabkan banjir besar. – AFP, 18 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen