Erdogan kata pesawat mewah dihadiahkan amir Qatar


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menafikan dakwaan pembangkang yang beliau membeli pesawat Boeing bernilai hampir AS$400 juta, sebaliknya berkata ia adalah hadiah Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani. – Gambar EPA, 17 September, 2018.

PRESIDEN Recep Tayyip Erdogan berkata amir Qatar memberikannya sebuah pesawat mewah sebagai “hadiah” kepada Turki, menolak dakwaan pembangkang yang pesawat itu dibeli negara itu dengan harga mahal.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada Isnin, Erdogan berkata Turki menunjukkan minat membeli pesawat Boeing 747-8- dilaporkan bernilai sekitar AS$400 juta- tetapi Amir Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani sebaliknya menawarkan diri untuk membelinya sebagai hadiah.

“Kita berminat. Tetapi bila amir Qatar dapat tahu dia tawarkan sebagai hadiah, katanya ‘saya tak akan ambil wang dari Turki. Saya akan beri pesawat ini sebagai hadiah’.”

Presiden Turki itu menegaskan yang walaupun pesawat itu akan digunakan untuk lawatannya, “pesawat itu bukan milik saya, ia milik Republik Turki”, dalam kenyataan kepada wartawan sekembalinya daripada lawatan ke Azerbaijan.

Erdogan berkata sebaik sahaja kerja mengecat selesai, beliau berharap dapat menggunakannya untuk lawatan.

Media Arab melaporkan pesawat itu, yang merupakan koleksi peribadi Tamim boleh membawa 76 penumpang dan mempunyai ruang tamu dan bilik tidur.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas kritikan wakil rakyat pembangkang utama negara itu, Parti Republik Rakyat (CHP) yang mendakwa Erdogan membeli pesawat itu.

Pesawat itu kini adalah simbol hubungan rapat antara Doha dan Ankara yang banyak membantu sama lain ketika kemelut.

Doha berjanji membuat pelaburan terus sebanyak AS$15 bilion kepada Turki ketika kemelut antara Washington dan Ankara bulan lepas yang menyebabkan kejatuhan teruk mata wang lira.

Ankara, salah satu negara pengeksport terbesar ke Qatar juga memberikan sokongan tak berbelah bahagi kepada Doha selepas Arab Saudi dan sekutunya mengenakan sekatan diplomatik dan ekonomi sejak 2017. – AFP, 17 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen