LAMAN media sosial Rusia VKontakte (VK) mengikut jejak langkah Facebook untuk menyenaraihitam ketua tentera Myanmar dan seorang sami yang mencetuskan sentimen Islamifobia di negara itu.
Facebook menyenaraihitam Jeneral Min Aung Hlaing dan beberapa pegawai tertinggi Myanmar tiga minggu lalu selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan tentang jenayah perang mereka ke atas etnik Islam Rohingya.
Ketua tentera itu kemudiannya membuka akaun di laman sosial VK dan menerima kira-kira 37,000 pengikut.
Tetapi pengguna VK hari ini menerima mesej yang menyatakan akaun tersebut telah disekat atas pelanggaran syarat pengendali laman sosial itu.
VK berkata kepada AFP bahawa akaun Min Aung Hlaing dan sami Wirathu telah disekat sepenuhnya selepas pihaknya menerima aduan daripada pengguna.
Malah VK turut mengambil moderator berbahasa Myanmar untuk membuat pemantauan.
Wirathu merupakan sami berpengaruh di Myanmar dan amat dikenali kerana sikapnya yang benci Islam terutamanya etnik Rohingya.
Facebook telah menyekat akaun Wirathu pada Januari susulan beberapa kenyataan yang dikeluarkan terhadap etnik Rohingya.
Kempen ketenteraan yang dilancarkan Myanmar pada tahun lalu menyebabkan kira-kira 700,000 penduduk Rohingya menjadi pelarian di sempadan Bangladesh.
Operasi itu juga dicemari dengan laporan yang mendakwa berlakunya pembunuhan besar-besaran dan kes rogol. – AFP, 17 September, 2018.
Komen