Pemimpin parti baharu Thai didakwa sebar maklumat palsu


Thanathorn Juangroongruangkit didakwa menyebarkan maklumat palsu menerusi siaran langsung di Facebook pada Jun lalu. – Gambar EPA, 17 September, 2018.

POLIS Thai hari ini mengemukakan dakwaan terhadap ahli parti baharu yang diketuai oleh taikun pengeluar alat ganti kenderaan, Thanathorn Juangroongruangkit atas kesalahan menyebarkan maklumat palsu terhadap kerajaan.

Thanathorn bersama dua anggota parti Future Forward didakwa di bawah Akta Jenayah Komputer selepas menyebarkan maklumat itu secara langsung menerusi Facebook pada Jun.

Mereka menuduh kerajaan junta cuba mengugut parti pembangkang agar mengikut dasar pemerintah sebelum pilihan raya tahun depan.

Jika didapati bersalah, ketiga-tiga mereka boleh dikenakan denda dan dipenjara sehingga lima tahun.

Namun  jurucakap parti itu, Pannika Wanich berkata pihaknya akan terus berkempen sebelum secara rasmi memasuki gelanggang politik pada 1 Oktober.

“Kami tidak takut. Kami akan berjuang dalam kes ini dan meneruskan aktiviti politik,” katanya.

Minggu lalu, kerajaan junta mengumumkan sebahagian langkah untuk melonggarkan larangan terhadap akvititi politik yang dikuatkuasakan selepas menggulingkan kerajaan awam pada 2014.

Kes melibatkan Thanathorn berlaku beberapa bulan selepas beliau terlibat dalam karier politik dengan harapan memenangi hati rakyat yang sudah letih dengan pergolakan politik antara kerajaan pro-junta dan proksi bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra.

Beliau dibandingkan dengan beberapa ahli politik luar negara yang mampu memberi impak seperti Emmanuel Macron dari Perancis.

Namun penganalisis berkata Thanathorn masih belum kelihatan serius dalam memacu parti berfahaman liberalnya itu.

Di bawah undang-undang junta, sesiapa yang didapati bersalah atas kesalahan jenayah tidak boleh bertanding dalam pilihan raya. – AFP, 17 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen