PENDUDUK Sarawak kini kebingungan selepas janji dibuat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad malam tadi untuk memberikan status setara kepada Sabah dan Sarawak hanya selepas kajian semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilakukan.
“Nak kaji apa lagi?” soal Timbalan Ketua Menteri James Masing.
“Yang dikatakan kajian ini oleh Tun M (Dr Mahathir) hanyalah alasan untuk menangguhkan proses (mengembalikan semula hak dan autonomi termaktub dalam perjanjian),” kata menteri ketiga paling kanan dalam Kabinet Sarawak itu.
“Sabah dan Sarawak tak boleh diperbodohkan lagi,” kata Masing.
Katanya, tempoh 55 tahun “menutup mata” berkaitan hak mereka sudah berlalu.
Masing berkata, tidak wujud keperluan untuk sebuah lagi kajian tentang MA63- yang mewujudkan Malaysia sebagai persekutuan- kerana perjanjian itu adalah perjanjian berkanun Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak boleh diubah atau dipinda oleh Perlembagaan Persekutuan atau Parlimen.

Katanya, apa yang perlu dilakukan Putrajaya sekarang hanyalah mendapatkan tiga pihak yang menandatangani perjanjian itu- Malaya, Sarawak dan Sabah- untuk melakukan audit kepada perjanjian tersebut.
“Biarkan tiga pihak yang menandatangani melakukan audit sama ada terdapat pelanggaran pemahaman MA63.
“Sekiranya ada, tiga pihak tersebut akan memutuskan sama ada ia cukup serius untuk membatalkan perjanjian itu.”
Dua pihak lagi yang turut menandatangani perjanjian itu ialah Singapura dan United Kingdom.
Singapura menarik diri daripada persekutuan pada 9 Ogos 1965 kerana kemelut politik dan ekonomi antara parti pemerintah Singapura dan Malaysia, manakala UK masih lagi pihak sah dalam perjanjian tersebut.

Persoalan sama turut dilontarkan peguam hak asasi Dominique Ng.
“Perlukah kita kaji lagi apa MA63 selepas 55 tahun?” kata Ng yang merupakan wakil rakyat pertama daripada PKR dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.
“Apa yang mereka (Pakatan Harapan) buat apabila mereka keluarkan manifesto sebelum PRU14?” katanya, menambah mengapa tiada kajian dibuat sebelum itu.
Ng juga bersetuju dengan Masing yang kajian tersebut hanyalah taktik menangguhkan pengembalian hak oleh Putrajaya, dan pengumuman Dr Mahathir hanya mahu memberikan masa kepada kerajaan.
“Itu akan memberikan masa enam bulan lagi kepada mereka, dan mungkin juga lebih. Kemudian mereka akan buat alasan lain sehinggalah pilihan raya negeri Sarawak!
“Mereka hanya mahu masa. Tiada keikhlasan dalam hasrat mereka memberikan semula hak.
“Sekarang jelas untuk banyak pihak, kalau tak semua pihak, yang kerajaan PH dibawah Dr Mahathir tidak akan bersedia memberikan apa yang mereka rampas dari Sarawak sejak lebih empat dekad lepas.
“Berbilion (ringgit) yang mereka mengaku ambil dari Sarawak jika mereka pulangkan, cukuplah sekadar 20% royalti minyak pun, boleh menyebabkan Petronas tutup kedai,” kata Ng.

Ng merujuk kepada dakwaan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali bahawa syarikat minyak negara itu boleh muflis sekiranya kerajaan persekutuan tunduk kepada tuntutan meningkatkan royalti minyak kepada negeri sebanyak 15% berbanding 5% sekarang.
“Ia tak akan diberikan,” katanya.
Ng juga berkata yang Dr Mahathir tidak boleh terus menerus menyalahkan pentadbiran Barisan Nasional kerana penghakisan hak negeri Borneo itu.
Malam tadi, Dr Mahathir berkata “Malaysia Baharu dibawah kerajaan Pakatan Harapan menyedari hakisan kedudukan dan hak Sabah dan Sarawak ketika pentadbiran Barisan Nasional terdahulu, menjadi dua negeri tambahan dalam Persekutuan Malaysia berbanding rakan sekutu”.
“Dia dan ramai orang (bekas pemimpin BN dalam PH sekarang) nampaknya terkena amnesia massa. Dia adalah perdana menteri kerajaan BN selama 22 tahun dan ketika zamannya sebagai perdana menteri (daripada 1981 hingga 2003) lah banyak dasar anti Sarawak yang dirancang dan dilaksanakan.”
Pejuang terkenal hak negeri Lina Soo pula bertanya “ apa lagi yang hendak dikaji tentang treati antarabangsa yang sudah ditulis dan ditandatangani 55 tahun lalu?”
Soo berkata jika wujud keperluan untuk kajian lanjut perjanjian tersebut, ia boleh dilakukan dengan “semua lima pihak yang menandatangani duduk semeja sekali lagi”.
Katanya, janji Dr Mahathir semalam “jelas sekali tidak ikhlas”.

Soo yang bersama NGO hak asasi manusia Sarawak Association for People’s Aspiration (Sapa) yang pernah diharamkan kerajaan BN, berkata sangat tidak munasabah untuk Dr Mahathir yang memerintah Malaysia sebagai perdana menteri paling lama berkuasa tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk Sarawak dan Sabah.
“Jika dia tak tahu keperluan dan jangkaan Sarawak dan Sabah, adakah dia hanya memerintah Malaysia ketika pentadbiran pertamanya selama 22 tahun?
“Dia hanya buat janji politik yang tak perlu dipenuhi, untuk perbodohkan rakyat Sarawak dan Sabah.
“Saya tidak akan termakan lagi dengan janji palsu. Hanya cakap kosong daripada kerajaan yang mengakui janji politik tidak signifkan dan (manifesto) bukan Injil.”
Menurutnya lagi, penduduk Sarawak tidak boleh lagi terus disuap dengan cakap kosong dan janji palsu.
Dalam catatan di Facebooknya, Soo menulis: “Cukuplah dengan penipuan, tidak ada keperluan untuk kaji bagaimana kembalikan status Sarawak (dan) Sabah, ia boleh dilakukan serta merta di Parlimen”.
Chan Chee Hiong daripada Sarawak for Sarawakians (S4S) juga bersetuju tidak ada keperluan untuk menyemak semula MA63.
“Penuhi sahaja (menurut terma yang sudah dipersetuji),” katanya.
“Apa lagi anda hendak semak? Semakan itu hanyalah alasan untuk cuba buat pindaan! Selesai semakan, Sarawak masih tiada apa-apa.” – 17 September, 2018.
Komen