Jepun rasmi jadi negara warga emas dunia


Warga emas Jepun yang berumur 65 tahun ke atas kini berjumlah 35.6 juta atau 28.1% daripada jumlah penduduk. Manakala, mereka yang berumur 70 tahun ke atas berjumlah 20.7%. – Gambar EPA, 17 September, 2018.

LEBIH daripada 28% penduduk Jepun kini secara rasminya dikategorikan sebagai warga emas menurut data kerajaan, kadar tertinggi di dunia ketika gelombang pertama bayi pasca perang memasuki usia tua.

Mereka yang berumur 65 tahun ke atas kini berjumlah 35.6 juta atau 28.1% daripada jumlah penduduk, kata kerajaan semalam.

Peratusan itu adalah tertinggi di dunia setakat ini, melepasi Itali (23.3%), Portugal (21.9%) dan 21.7% di Jerman, menurut data PBB untuk negara-negara itu.

Kerajaan juga berkata mereka yang berumur 70 tahun ke atas pula berjumlah 20.7%, melepasi kadar 20% untuk kali pertama.

Angka itu menunjukkan bayi pasca perang kini memasuki usia emas, katanya.

Perubahan demografik berlaku kerana gabungan kadar kelahiran yang rendah dan jangka hayat yang lebih lama.

Peningkatan jumlah penduduk yang berusia menjadi cabaran kepada pembuat dasar yang perlu memastikan jumlah pekerja yang semakin berkurangan mampu menampung dan menyumbang kepada wang persaraan warga emas. – AFP, 17 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen