LEBIH 30 banduan yang meloloskan diri dari sebuah penjara di Myanmar dipercayai cuba menyusup masuk ke Thailand.
Pegawai pihak berkuasa tempatan Myanmar Khin Thet Mar berkata, kes tersebut turut menyebabkan penduduk tempatan berasa bimbang jika banduan terbabit memasuki rumah mereka.
Seramai 41 banduan meloloskan diri semalam selepas merampas sebuah trak sampah dan merempuh pagar penjara Hpa-An di negeri Karen, timur Myanmar.
Laporan media tempatan menyebut 10 daripada 41 banduan itu berjaya ditahan semula dan operasi memburu saki baki pesalah itu masih diteruskan di kawasan kampung yang berhampiran dengan sempadan Thailand.
“Banduan tidak mempunyai makanan atau duit, jadi mereka mungkin mengancam penduduk kampung untuk mendapatkan bekalan,” katanya.
‘Mereka mungkin melarikan diri ke Thailand tetapi pihak berkuasa masih berusaha menangkap mereka semula secepat mungkin dan melakukan sekatan di beberapa lokasi.”
Kenderaan yang digunakan untuk melarikan diri itu ditemukan kira-kira 200 kilometer dari sebatang jalan yang menuju ke sempatan Thailand.
Laporan media berkata antara banduan yang terlepas termasuk seorang ketua penjenayah yang dihukum penjara seumur hidup atas kesalahan menyeludup dadah, memiliki senjata haram dan cubaan membunuh. – AFP, 17 September, 2018.
Komen