.jpg)
ANWAR Ibrahim bukan nama biasa dalam mencorak perjuangan politik baharu di Malaysia. Kehadirannya dalam proses perjuangan reformasi di Malaysia lebih banyak masanya dari balik tembok besi penjara daripada di medan.
Anwar tidak pernah didakwa atas kesalahannya mencabar pemerintah tetapi beliau didakwa secara tuduhan palsu untuk mengaibkan diri dan keluarganya.
Susuk tubuh Anwar tidak pernah mengenal erti menyerah. Beliau mempertahankan dirinya tidak bersalah sepanjang pemenjaraannya. Alhamdulillah, pada 2018 Yang Di-Pertuan Agong berkenan memberikan kuasa pengampunan ke atas Anwar, yang telah membersihkan namanya dan keluarganya sejak dihina dan diaibkan pada 1998 lagi, iaitu selama 20 tahun.
Generasi reformasi adalah hasil tangannya yang sebahagian besar kini menduduki jawatan penting dalam pentadbiran negara. Parti pembangkang semua meraih dokongan “Reformasi” yang dilaung dan diusung oleh Anwar sehingga menjadi titik perpaduan dalam kalangan pembangkang.
Suara Anwar yang menghidupkan semula roh Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum dan agama, seolah satu ‘kata sihir’ yang memukau segenap lapisan masyarakat. Justeru beliau telah menyatukan rakyat Malaysia.
Anwar setia kepada rakan politiknya walaupun PAS dahulu mempunyai pandangan keras terhadap beberapa sikapnya. Namun, Anwar mengambil kaedah bertemu dan menjelaskan bagi memelihara kesatuan pembangkang. PAS telah memilih jalannya walaupun Anwar berusaha memulihkan kekeruhan yang berlaku.
Ketika Amanah diasaskan pada 2015, beliau memahami realiti bahawa pembangkang harus ‘move on’ dan peranan Amanah menyatukan pembangkang setelah Pakatan Rakyat (PR) berkubur tidak dapat dinafikan.
Kelahiran Bersatu kemudian pada awal 2017 turut dialukan sebagai kekuatan baru menggamit sokongan Umno tegar. Anwar meletakkan semua perkembangan ini dalam kerangka pemikiran politik baharu yang diperjuangkan, dan sebab itu Anwar sentiasa fokus apa yang diinginkan.
Dulu musuh kini kawan
Satu tindakan besar Anwar ialah menerima Dr Mahathir Mohamad dalam kancah perjuangan reformasi walaupun sebelumnya mereka adalah musuh ketat. Anwar ada visi besar dan jiwanya membuka ruang yang luas untuk semua waima musuhnya sendiri.
Anwar juga adalah figura yang menentukan survival partinya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana semua fraksi dalam PKR menyatakan mereka adalah kem Anwar dan kerana kekuatan peribadi kepimpinannya, Anwar berhati-hati menyatakan sikapnya kepada kem yang bersaing sengit dalam PKR hari ini.
Tidak syak lagi Anwar adalah faktor penyatu dalaman pada suasana PKR sebagai parti terbesar menguasai kerusi kerajaan Pakatan Harapan hari ini ketika ia diuji dengan persaingan yang sengit sesama mereka.
Dituduh Islam liberal
Anwar berani menyuarakan sikap Islam dalam kerangka demokrasi hari ini, malah beliau mahu dikenali sebagai ‘muslim demokrat’ yang berpegang kepada kerangka negara berpaksikan rule of law dan intepretasi Islam yang kontekstual tanpa meninggalkan asas tekstual.
Gabungan tekstual dan kontekstual inilah asas pandangan beliau pada isu yang menyinggung Islam kontemporari. Sedari dahulu, tohmahan Islam liberal ke atasnya lebih kepada ketidakfahaman kelompok tekstual yang mahukan penafsiran Islam literal bukan kerana Anwar adalah seorang Muslim yang mencairkan prinsip agamanya.
Kini masanya sudah tiba kemunculan Anwar disambut melalui kaca mata sejarah panjang perjalanan reformasi dan kehebatan kepimpinannya yang amat diperlukan dalam membentuk Malaysia Baharu.
Apatah lagi semua parti komponen PH termasuk Dr Mahathir menyatakan sokongan penuh kepada Anwar.
Amanah turut menyatakan sokongan padu dan akan membantu semaksima mungkin melalui Presidennya Mohamad Sabu manakala DAP berjanji memenangkan Anwar di Port Dickson (PD) semasa pilihan raya kecil nanti.
Suara yang mempertikaikan keputusan Anwar untuk bertanding di PD dan mengapa bukan di tempat Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen Pandan tidak melihat susur galur perjalanan politik beliau.
Tanggapan kononnya Anwar akan mewarnai politik anak-beranak terlalu awal untuk diberi ulasan kerana berbanding dengan perjalanan politik Anwar, isu anak beranak terlalu kerdil untuk diberi perhatian.
Hanya mereka yang kurang arif perjalanan politik Anwar akan membesarkan isu politik anak beranak ini.
Barang diingatkan Dr Mahathir dan Anwar adalah gabungan dinamik untuk memulakan politik baharu di Malaysia. Langkah awal penting kerana proses Malaysia Baharu akan memakan masa dan dalam proses itu kemunculan Anwar adalah sangat tepat dan diperlukan.
Diharapkan generasi penyambung akan meneruskan gagasan Malaysia Baharu yang penuh dengan cabaran dan halangan. Untuk kemunculan Anwar, saya mengucapkan marhban dan ahlan wa sahlan. – 17 September, 2018.
* Dr. Mujahid Yusof Rawa adalah naib presiden Amanah dan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh [email protected] · Ulasan